Hanya tinggal beberapa puluh jam sahaja dari sekarang, Majlis
Syura Ulama PAS akan bersidang untuk menentukan untung rugi nasib bekas
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berikutan kenyataan kerasnya
sekembali dari Mekah yang dianggap melanggar dasar parti.
Dalam kenyataan yang bersifat ultimatum itu, Ustaz Nasharudin
telah meminta PAS mengkaji semula kedudukan dalam PR selepas DAP secara
konsisten menolak dasar PAS yang mahu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan
hukum hudud sebagai perundangan negara.
Sebelum itu, penyiaran gambarnya yang dilihat mesra dengan Perdana
Menteri sewaktu pertemuan khusus dengan beberapa orang ulama Arab Saudi di
Mekah juga telah menerima kecaman keras dari ramai pemimpin PAS dari kumpulan
Anwarinas.
Antara komen yang agak pedas termasuklah dari Mursyidul Am PAS
sendiri yang juga Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat yang secara terbuka
menghalau Ustaz Nasharudin untuk segera keluar dari parti.
Berikutan kontroversi itu, Presiden PAS, Hadi Awang yang
mempengerusikan mesyuarat Lajnah Politik & Pilihanraya PAS Pusat selepas
itu telah menyerahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan muktamad
berhubung perkara tersebut.
Sejak seminggu lepas, pelbagai usaha dan kempen secara terbuka dan
berbisik hebat dijalankan oleh beberapa pihak dalam PAS untuk mempengaruhi
pandangan ahli-ahli Majlis Syura agar mengikut telunjuk mereka.
Dilihat dari segi kempen dan kekuatan pengaruh ditambah pula
dengan tekanan dari Nik Aziz sendiri yang cukup anti pada Ustaz Nasharudin,
besar kebarangkalian senario 'gantung sampai mati' seperti yang menimpa bekas
Naib Presiden PAS, Hasan Ali akan berulang kembali.
Walaupun sejak beberapa hari lalu, beberapa orang pemimpin 'ulama'
PAS termasuklah Timbalan Mursyidul Am PAS, Haron Din kelihatan bertungkus lumus
untuk mempertahankan hak Ustaz Nasharudin memberi pandangan yang berbeza, namun
masih dilihat tidak cukup kuat untuk membendung pengaruh kumpulan Anwarinas
yang didukung kuat oleh Nik Aziz.
Tambahan pula, jika sekiranya keputusan Majlis Syura memihak
kepada Ustaz Nasharudin, impak buruknya agak menggoncang imej dan pengaruh Nik
Aziz selaku Mursyidul Am PAS sekaligus akan memberi kesan besar dalam merobek
kekuatan PAS di negeri Nik Aziz sendiri.
Menurut maklumat terbaru dari seorang pemimpin kanan PAS yang
bersimpati dengan Ustaz Nasharudin, sedikit masa yang tinggal ini sebelum
Majlis Syura bermesyuarat pada 9 September nanti adalah terlalu panas, hangat
dengan kempen-kempen yang agak melukakan hati.
Katanya lagi, seperti sudah tiada peluang kedua untuk Ustaz
Nasharudin, ruang demokrasi dan keadilan seperti sudah tertutup dalam PAS.
Kalaupun Ustaz Nasharudin terlepas dari hukuman pun, berkemungkinan beliau akan
di 'peti sejukkan' begitu sahaja.
Jika benar seperti dikatakannya, maka jelaslah 9 September kelak
akan menjadi hari yang paling sial untuk Ustaz Nasharudin.
0 Komen