Dakwaan Kena Culik, Ugut Bunuh Skrip Politik Luar Yang Dibawa Ke Kampus


Cerita-cerita kena ugut, kena culik dan yang terbaru ada ugutan bunuh adalah sebahagian daripada skrip yang selalu kedengaran apabila menjelangnya pilihanraya kampus bagi mencipta kontroversi, demikian pandangan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.


Justeru beliau yakin perkara tersebut adalah sebahagian daripada taktik politik luaran yang cuba dipratikkan ke dalam universiti bagi kepentingan sesetengah pihak.

“Ugut bunuh ini yang terbarulah, yang akhirnya bila dah selesai pilihanraya tersebut, tiba-tiba didapati berita tersebut tak benar pun. Ada yang dikatakan kena culik tetapi didapati pula telah berkahwin dengan orang yang dikatakan kena culik, jadi macam-macam cerita yang bertujuan untuk meraih simpati untuk politik.

“Inilah budaya politik yang dibawa oleh pembangkang dan saya lihat kalau itu jugalah yang berlaku dalam kampus, jadi pembangkanglah yang menghasut mereka untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana di universiti kita harapkan pelajar-pelajar kita ini bersikap kritis, sebagai seorang yang terpelajar, janganlah terlalu mudah untuk dikelirukan dengan dakyah-dakyah yang dilontarkan,” katanya mengulas Pilihan Raya Kampus yang sedang dijalankan hari ini.

Pada masa yang sama beliau yang juga Timbalan Menteri  Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri berkata pilihan raya kampus yang sedang diadakan di Institusi Pengajian Awam dan swasta hari ini merupakan satu peluang untuk mahasiswa menunjukkan kematangan mereka memikirkan cara terbaik dalam pendekatan yang perlu mereka ambil dalam membela nasib rakan-rakan mereka di universiti.

Tambahnya, ini juga peluang untuk mereka menunjukkan bahawa walaupun tidak ada lagi AUKU dalam bentuk asalnya, mereka dapat mengurus hal-hal dalam kampus itu dengan bijaksana tanpa campur tangan politik luaran.

“Dari pengamatan saya, isu-isu yang berbangkit pun adalah isu-isu dalaman dalam kampus khususnya contohnya kekurangan bas, permit membawa masuk kenderaan motor contohnya, jadi perkara-perkara sebegini memang baiklah untuk dibangkitkan dan dibincangkan bersama dengan pihak unversiti.

“Kita tidak mahulah melihat pelajar-pelajar kita ini memilih pemimpin ataupun perwakilan mahasiswa yang terlalu mirip politik luaran sehinggakan mereka disalah-gunakan untuk turut terlibat dalam rusuhan, demostrasi jalanan kerana ia akan menarik tumpuan mereka dari apa yang sepatutnya mereka tumpu iaitu pendidikan dan pengajian mereka sendiri”, ujarnya. 


Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.