Barangkali sudah serik dan perit bila kisah dalamannya kerap
menjadi bualan umum dan sering menyebabkan kontroversi, akhirnya PKR Pulau
Pinang mengambil keputusan menghentikan segera siasatan lanjut berkaitan
insiden kebocoran minit mesyuaratnya.
Alasan yang mereka kemukakan bagi menjustifikasikan keputusan
tersebut ialah untuk mengelakkan risiko 'family scandal' daripada terus merebak
kepada pengetahuan umum.
Dalam minit mesyuarat ataupun transkrip perbualan yang terdedah
pada umum itu antara lainnya mencatatkan kritikan pedas oleh Timbalan Ketua
Menteri I (TKM I), Dr Mansor Othman dari PKR terhadap pemimpin utama DAP yang
juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Lim yang sekarang ini adalah Setiausaha Agung DAP telah digelar
sebagai tokong yang angkuh dan sombong berikutan perwatakan dan pembawaan
sikapnya yang semakin tinggi diri dan semakin jauh dari rakyat kebanyakan.
Turut direkodkan ialah perancangan sulit PKR dalam menghadapi
pengaruh DAP yang dilihat mengancam kepentingan politik PKR di Pulau Pinang
khususnya. Berikutan senario itu, PKR merancang untuk menyediakan
calon-calonnya dari keturunan Cina sebagai persiapan awal untuk berdepan dengan
DAP kelak.
Bijak atau tidak keputusan terbaru PKR itu bukannya satu persoalan
untuk kita halusi tapi hakikatnya pendedahan minit mesyuarat atau lebih tepat
lagi transkrip perbualan antara pemimpin PKR yang kecoh sebelum ini membuktikan
terlampau dalam jurang kepercayaan antara mereka yang bersekongkol dalam PR.
Selain mendedahkan wajah sebenar pemimpin pakatan pembangkang yang
hanya ceria di depan siap boleh bertepuk tampar antara satu sama lain tapi di
belakang masing-masing siap sedia untuk menikam belakang rakan-rakan sepakatan,
ia juga mengesahkan perjuangan para pemimpin PR hanyalah untuk memenuhi
tembolok sendiri sahaja.
Layaklah kelakuan sedemikian rupa agak sinonim dengan ramai
pemimpin pembangkang, sementelah lagi kewujudan mereka pun kebanyakannya kerana
atas dasar kecewa dek kerana pembawaan diri yang tidak cocok dengan polisi dan
dasar kerajaan pusat yang memerintah yang lebih mendahulukan kehendak rakyat.
Dalam jangka waktu sebulan dua ini sudah berkali-kali maklumat
sulit hasil mesyuarat atau pertemuan sesama pemimpin PKR telah didedahkan
kepada umum, termasuklah pembahagian kuota kerusi parlimen yang mahu
dipertandingkan, perancangan Anwar dan Nurul Izzah untuk lari dari kawasan
masing-masing serta beberapa yang lain.
Malah menurut satu sumber, kesan dari pelbagai pendedahan yang
berlaku sejak akhir-akhir ini telah menambah curiga Ketua Umum PKR terhadap
ramai anak buah termasuklah orang kanannya sendiri. Dengarnya sampai rimas
dibuatnya beberapa orang kanan PKR melihat pada reaksi tersebut.
Mungkin selepas ini PKR terpaksa mengambil langkah lebih
berjaga-jaga terutama sekali bilamana mahu membincangkan perkara sulit sesama
mereka, jika tidak mahunya teruk ditelanjangkan lagi oleh orang-orangnya
sendiri.
0 Komen