Tindakan kerajaan Selangor membelakangkan Sultan Selangor dalam
sambutan kemerdekaan peringkat negeri itu, diharap dapat membuka mata rakyat
tentang ancaman yang dihadapi sekiranya pembangkang diberi peluang mentadbir
negara.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin
Mohamed berkata Sultan merupakan lambang kedaulatan negeri Selangor dan
tindakan itu dianggap berniat jahat dan memperkecilkan peranan institusi raja
di negara ini.
"Dalam undang-undang tubuh kerajaan Selangor, Sultan adalah
ketua kerajaan dan Menteri Besar adalah ketua eksekutif. Kalau dia tak tahu nak
bezakan mana satu ketua kerajaan dan ketua eksekutif, jadi boleh bayangkan
kalau dia dapat Putrajaya?
"Apa yang akan berlaku dalam sistem pentadbiran
kerajaan?," katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda
dan Puteri Umno Bahagian Sepang semalam.
Semasa sambutan Bulan Kemerdekaan ke-55 peringkat Selangor yang
diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam dua hari lepas, Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah langsung tidak dijemput ke majlis itu, sebaliknya
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Ekonomi Selangor
dijemput sebagai tetamu kehormat dan memberi ucapan pada sambutan itu.
Mohd Zin yang juga Ketua Umno Bahagian Sepang juga berkata penjelasan
bahawa Sultan tidak dijemput kerana ia hanya sambutan ambang merdeka juga tidak
dapat diterima kerana terdapat perbarisan oleh anggota polis dan tentera pada
majlis itu.
"Jadi tentera dan polis ini nak tabik hormat pada siapa?
Takkan nak tabik
hormat kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim? Siapa
Anwar dalam struktur kerajaan Selangor?
"Jika Tuanku tidak dimaklum, tidak dijemput dan tidak diberi
pengiktirafan
sebagai protokol nombor satu di Selangor, apa mesej yang dia nak
bagi? Adakah dia nak ajar rakyat jangan hormat pada Sultan?," katanya.
Ditanya mengenai tindakan peserta Himpunan Janji Bersih yang
memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri
Rosmah Mansor di Dataran Merdeka pada Khamis lepas, Mohd Zin berkata ia
merupakan tindakan tidak bertamadun, kebudak-budakan, biadap dan mempunyai
mentaliti rendah.
0 Komen