Tuntutan rakyat negeri Selangor kepada
kerajaan negeri yang sehingga kini masih gagal melaksanakan skim air percuma
seperti yangdijanjikan pada manifesto pilihan raya umum lalu kepada penghuni
flat dan pangsapuri semakin hari semakin
memuncak.
Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi
Shahadan berkata, walaupun setiap minggu penduduk menyuarakan tuntutan melalui
demonstrasi secara aman namun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta
barisan exconya hanya memekakkan telinga dan membukakan mata.
“Mereka langsung tidak
simpati dengan tuntutan yang dibuat oleh rakyat khususnya berpendapatan
rendah yang menhuni rumah flat dan apartmen, sebaliknya tanpa rasa bersalah
mengatakan manifesto itu bukan satu perjanjian yang perlu dilaksanakan.
Ini menunjukkan sikap angkuh dan bongkak kerajaan negeri pimpinan
PKR yang kononnya melaungkan negeri berkebajikan serta mengamalkan ketelusan
dan ketulusan sebenarnya omong kosong –
sekadar ‘gula-gula’ untuk memenangi pilihan raya umum.
Rakyat sebenarnya sudah boleh membuka mata dan boleh menilai
sendiri jenis apakah kepimpinan yang diamalkan oleh pakatan pembangkang di Selangor ini kerana
sejak daripada awal lagi kerajaan negeri sudah membuka tembelang mereka,”
ujarnya selepas
Tambahnya, sikap membisu Abdul Khalid itu juga menunjukkan
kerajaan negeri Selangor hari ini langsung tidak bertanggungjawab dan
mengesahkan dakwaan bahawa mereka lebih gemar berpolitik daripada menyelami
permasalahan rakyat marhaein.
Hari ini satu lagi siri demonstrasi secara aman dilakukan oleh
penghuni Apartment Putra Perdana, Puchong yang menuntut agar mereka juga diberi
hak untuk menikmati air percuma 20 meter
padu setiap bulan atau kerajaan negeri membayar rebat bermula pada 2008.
Terdapat 11 apartment iaitu
Siantan, Rista Villa, Kekwa, Kenanga, Teratai, Dahlia, Anggerik, Semarak,
Kiambang, Ruvena dan Rozana yang mengandungi lebih 5,000 unit rumah yang telah
dinafikan hak mereka untuk mendapat air percuma tersebut.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, pakatan pembangkang
berjanji dalam manifesto mereka untuk memberikan air percuma sebanyak 20 meter
padu setiap bulan kepada semua rakyat di Selangor terutamanya golongan sasar
dan kurang berkemampuan.
Bagaimanapun selepas menang di Selangor, pakatan pembangkang hanya
melaksanakan skim tersebut dalam ‘keadaan tidak sepenuh hati’ itupun selepas mendapat desakan pelbagai pihak yang
menuntut janji tersebut dilaksanakan.
Namun begitu, pelaksanaanya sekadar melepaskan batuk di tangga
kerana hanya pengguna yang menggunakan meter individu sahaja menerima skim sir
percuma itu, manakala pengguna meter pukal dinafikan hak itu.
Pelaksanaan skim air percuma ini sahaja kerajaan negeri sekarang
tidak adil walau parti mereka bernama Parti Keadilan Rakyat kerana kediaman
berharga RM3 juta memperoleh keistimewaan itu tetapi kediaman flat dan apartmen
terpaksa membayar 20 meter padu air.
“Sebelum ini, tiga demonstrasi secara aman menuntut air percuma
telah dibuat oleh penduduk Apartment Mentari Court, Petaling Jaya; Apartment
Vista Lavender dan Apartment Angsana Bandar Mahkota Cheras.
Justeru saya mendesak agar Abdul Khalid dan kerajaan negeri
Selangor lebih bertanggungjawab dan mengambil berat desakan yang dibuat oleh
penduduk Apartment Putra Perdana ini kerana selepas ini satu lagi tuntutan
saman akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” ujarnya lagi.
Terkini, 11 pangsapuri di Putra Perdana, Puchong melibatkan 5,000
unit pangsapuri yang dinafikan hak mereka untuk mendapat air percuma seperti
yang dijanjikan Kerajaan Negeri telah mengadakan bantahan secara aman bertempat
di Rista Villa, semalam.
Rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa kesal dan tidak
puas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri yang tidak mengendahkan tuntutan yang
dibuat penduduk pangsapuri yang tidak berpeluang menikmati air percuma sebanyak
20 meter padu setiap bulan dengan alasan meter pukal.
Pengerusi Badan Bertindak Pangsapuri Putra Perdana, Rushdan
Mohamed berkata, rakyat Selangor memberi mandat kepada PR dengan harapan dapat
merealisasikan manifesto PRU12.
“Dulu kami berharap
kerajaan PR dapat membantu rakyat Selangor, dan bukan sekadar janji air percuma
malah pelbagai lagi insentif ditaburkan hanya palsu, kalau janji tidak di kota
kami akan tolak bulat-bulat pimpinan ini,”katanya ketika sidang media di
Pangsapuri Rista Villa,semalam.
Peguam yang mewakili penduduk, Tetuan Kamarudin dan Partners
melalui peguam Kamarudin Ahmad berkata,
sehingga Jumaat lalu sebanyak 4,000 saman telah difailkan terhadap ketiga-tiga
defenden tersebut iaitu Kerajaan Negeri,
Menteri Besar dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi menuntut
tunggakan subsidi di bawah skim air percuma di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau turut menasihatkan rakyat Selangor agar tidak terpengaruh
dengan dakyah yang disebarkan pihak tidak bertanggung jawab berhubung keupayaan
mereka untuk memenangi kes tersebut dan mendakwa sekiranya kalah, Kerajaan
Negeri akan menyaman mereka semula.
“Semua kes telah diserahkan
kepada Mahkamah Tinggi untuk di adili dan jangan mudah terpengaruh dengan
dakyah tersebut kerana kes ini bukan fitnah tetapi berdasarkan bukti
(manifesto),”katanya.
0 Komen