Sekumpulan bekas peneroka Felda Sungai Buaya, Rawang, dan waris
mereka hari ini menuntut kerajaan negeri Selangor memulangkan tanah seluas
419.57 hektar milik mereka yang didakwa dirampas pada 2010 dan membatalkan
prosiding perampasan terhadap tiga lagi keping tanah seluas 451.62 hektar milik
mereka di Mukim Serendah, Hulu Selangor.
Kira-kira 40 orang yang mewakili 362 bekas peneroka dan waris
terbabit berkumpul di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di
sini pada pukul 11.30 pagi dan memegang pelbagai kain rentang bagi menyatakan
tuntutan mereka terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Mereka turut menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri
menerusi wakil mereka Noryzal Zainal Abidin.
Berdasarkan memorandum itu, bekas peneroka terbabit mendakwa pada
1994 mereka telah menubuhkan satu syarikat dikenali sebagai Murna Jaya
Development Berhad (Murna Jaya) bagi menjual dan memajukan tanah mereka secara
usahasama dengan mana-mana pemaju yang berminat dan berkemampuan.
Seterusnya pada 1996, Murna Jaya telah mengikat perjanjian
usahasama dengan syarikat pemaju dikenali sebagai Bandar Sungai Buaya Sdn Bhd
(BSB) untuk memajukan keseluruhan tanah peneroka menjadi sebuah bandar baharu
di kawasan itu.
BSB kemudian telah membangunkan sebahagian daripada tanah peneroka
dengan mendirikan rumah kediaman dan blok kedai kira-kira 3,275 unit,
bagaimanapun sekitar 1998, BSB tidak dapat meneruskan projek itu dengan lancar
disebabkan kejatuhan ekonomi serantau sehingga akhirnya memaksa BSB
menghentikan terus kerja pembangunan di kawasan itu.
Ekoran itu, persetujuan telah dicapai di mana menjadi
tanggungjawab BSB untuk memulangkan kembali kira-kira 654.37 hektar tanah milik
peneroka dan sebahagian lagi tanah di Mukim Serendah, Hulu Selangor, sebagai
ganti rugi atas kegagalan BSB menyiapkan projek itu selaras dengan perintah
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 16 Mei 2005 yang mengarahkan BSB berbuat
demikian.
Kesemua tanah yang perlu dipulangkan kembali kepada Murna Jaya
telah didaftarkan atas nama BSB sebagai tuan punya berdaftar kecuali tanah di
Mukim Serendah.
Bagaimanapun disebabkan BSB menghadapi masalah kewangan yang
serius segala perancangan untuk memulangkan serta mendaftarkan semula tanah
tersebut atas nama Murna Jaya tidak dapat dilaksanakan disebabkan kegagalan BSB
menjelaskan cukai tanah yang telah tertunggak.
Akhirnya pada awal 2009, Murna Jaya telah menerima satu notis
sebagai tuanpunya benefisial berhubung dengan kegagalan tuan punya (BSB)
menjelaskan cukai tanah yang tertunggak sebanyak RM8.22 juta.
Ekoran itu, Murna Jaya telah mengambil inisiatif untuk menyelamatkan
tanah tersebut seperti menghantar beberapa pucuk surat kepada pihak kerajaan
negeri untuk mengemukakan beberapa cadangan tetapi usaha itu gagal dan pada 11
Ogos 2011 mereka menerima surat daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah
Selangor memaklumkan bahawa lapan hakmilik tanah mereka berkeluasan 419.57
hektar telah dirampas mengikut Akta Perampasan Tanah.
Ketika ini kerajaan negeri juga telah memulakan prosiding bagi
merampas tiga lagi hakmilik tanah seluas 451.62 hektar di Mukim Serendah atas
alasan cukai tertunggak sebanyak RM3.5 juta.
Murna Jaya melalui peguam mereka iaitu Tetuan Wan Haron &
Associates telah menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia bertarikh
26 Julai 2012 yang menyokong permohonan Murna Jaya untuk penangguhan prosiding
perampasan itu untuk jangkamasa enam bulan bagi meneliti dokumen berkaitan
tetapi sehingga kini Menteri Besar didakwa masih belum membuat keputusan
berhubung permasalahan itu.
Sehubungan itu peneroka terbabit menuntut kerajaan negeri menerima
cadangan Murna Jaya untuk menyelesaikan jumlah cukai tertunggak bagi kesemua
2,152.8 hektar tanah yang telah dirampas termasuk tanah yang terlibat dalam
prosiding perampasan di Mukim Serendah secara berperingkat seterusnya
memulangkan kembali tanah berkenaan kepada Murna Jaya untuk diteruskan
pembangunan.
Mereka turut menuntut kerajaan negeri mempercepatkan dan
menanggung segala kos perbelanjaan untuk proses pecah tanah itu seterusnya
mengeluarkan geran berasingan kepada setiap pembeli atau pemilik rumah atau
tanah masing-masing selain menaik taraf kemudahan asas serta melaksanakan
projek pembangunan yang dijanjikan sebelum ini.
Sementara itu, wakil peneroka terbabit, Abu Hasan Mohd Sidek, 70,
yang telah menetap di sana sejak 40 tahun lepas merayu supaya kerajaan negeri
bertimbang rasa dengan menerima tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.
“Kami akan bayar tunggakan cukai tetapi secara berperingkat kerana
kami orang susah. Kami beri tempoh selama 14 hari untuk Menteri Besar membuat
keputusan terhadap tuntutan kami sebelum kami ambil tindakan lebih drastik dan
tegas selepas ini,” katanya.
11:02 AM
lalalalalala mana lah SI ANAK kata nak memperjuangkan penduduk felda, di dah terniaya ni, takkan tak nampak!!!
2:55 PM
cerita lama ni.. salah siapa sebenarnya? tanya peneroka2 dan anak peneroka dulu. jgn trus buat keputusan membuta tuli!
8:25 AM
Quelle est la situation du droit d'auteur pour les photos prises à partir de DVD de films et utilisé dans les articles académiques?
11:53 AM
Tunggu lah d padang mahsyar nanti ... Tidak ku halalkan penipuan ini .... Siapa yg bertanggung jawab meyeksa penduduk s.buaya tunggulah pembalasannya nanti .. ini doa anak yatim waris kpd peneroka s.buaya .... Tungguuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu o