Kompleks PKNS Shah Alam Antara Yang Bakal 'Dilelong' Kerajaan Negeri Selangor..... |
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dibidas
kerana dilihat sanggup menggadai aset Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS) yang bertujuan membangunkan sosioekonomi rakyat secara seimbang demi
kepentingan politik.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk
Sohaimi Shahadan mendesak penjualan aset tersebut dibatalkan atau kerajaan
negeri akan berdepan dengan demonstrasi besar-besaran rakyat dan kumpulan
peniaga di Selangor.
"Abdul Khalid jangan bermain politik kolot dengan menggunakan
istilah 'urus tadbir korporat' bagi mengelirukan dan terus memperbodohkan
rakyat sedangkan hakikatnya ingin menjual semua aset tersebut," tegasnya.
Sohaimi Shahadan |
Sohaimi berkata, sekiranya benar semua aset itu ingin disusun
semula dan diselaraskan di bawah penubuhan anak syarikat PKNS, kerajaan negeri
tidak sepatutnya membuat pinjaman korporat dan transaksi kewangan bernilai
ratusan juta ringgit seperti yang didakwa.
"Kita melihat penjualan aset ini ekoran Abdul Khalid dan
kerajaan negeri semakin terdesak sedangkan aset-aset berkenaan adalah simbol
kejayaan PKNS dalam konteks membantu usahawan dan peniaga Melayu di
Selangor," katanya.
Tambah beliau, penjualan itu sudah pasti memberi kesan kepada
kumpulan peniaga dan usahawan kecil antaranya kenaikan kadar sewa sekali gus
membebankan mereka.
"Bukan hanya aset PKNS, malah harta kerajaan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Selangor lain juga tidak mustahil akan dijual. Agenda pembangunan
rakyat tidak dipandang berat dan sebab itu Abdul Khalid dengan mudah menyatakan
manifesto yang dibuat pada pilihan raya lalu bukannya janji," katanya.
Kelmarin, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk
Seri Noh Omar mencabar Abdul Khalid memberi penjelasan berhubung dakwaan PKNS
meluluskan penjualan lima aset milik mereka yang difahamkan proses penjualannya
berada di peringkat akhir meskipun belum dimuktamadkan.
0 Komen