Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) hari
ini mencabar Kerajaan negeri Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Selangor supaya mengemukakan satu kenyataan rasmi termasuk menyenaraikan
status pencapaian terhadap setiap janji kepada rakyat yang dibuat menerusi
manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan memberikan tempoh selama dua
minggu kepada kerajaan PKR Selangor untuk berbuat demikian memandangkan
sebilangan besar janji dalam manifesto tersebut masih belum ditunaikan sehingga
ke hari ini.
“Berdasarkan penelitian dan kajian GPRS, sejak mentadbir Selangor
empat tahun lalu, sebanyak lapan janji langsung tidak dilaksanakan oleh
kerajaan PKR Selangor antaranya ialah memberi bantuan RM50 sebulan untuk
pendidikan pra-sekolah; bantuan golongan muda mendirikan rumah tangga
termasuklah memberikan elaun kepada ibu tunggal dan suri rumah di negeri ini.
Selain janji tidak ditunaikan, terdapat empat program yang
dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah manifesto tersebut turut tidak
sempurna selain mendakwa wujudnya kelemahan yang ketara seperti bantuan RM75
untuk setiap anak ke nurseri, hadiah RM1,000 anak negeri yang mendapat tawaran
universiti, bantuan biasiswa pelajaran dan juga tabung permulaan RM100 untuk
setiap anak kelahiran Selangor,” ujarnya kepada media dalam satu sidang media
di sini hari ini.
Justeru, GPRS mendesak kerajaan PKR bersama-sama sekutu mereka,
DAP dan Pas tampil menyediakan kenyataan rasmi dengan menyenaraikan pencapaian
kesemua 12 perkara ini yang terkandung dalam manifesto mereka.
"Kita cabar kerajaan negeri umumkan perkara ini, kita tidak
mahu rakyat terus dibohongi. GPRS juga bersedia untuk berdebat dengan Menteri
Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) atau wakilnya mengenai janji-janji tidak
tertunai ini, termasuklah program-program dilaksanakan kerajaan negeri yang
bersifat 'ala kadar' dan 'melepas batuk ditangga' sahaja," katanya.
Dalam masa yang sama, Sohaimi yang juga pengerusi Biro Pembangunan
Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO turut menyelar PKR
membuat janji baru untuk meraih sokongan pengundi pada pilihan raya umum akan
datang seperti menurunkan harga minyak, menurunkan harga kereta dan sebagainya.
"Rakyat perlu membuat penilaian bahawa janji baru PKR itu
sebenarnya hanyalah untuk menarik sokongan pengundi. Jika PKR dan sekutu mereka
ikhlas mahu membantu rakyat, mereka sepatutnya telah selesaikan janji mereka
pada PRU12 lalu khususnya di Selangor
"Namun, pakatan pembangkang sehingga hari ini tidak
laksanakan janji tersebut, kemudian buat janji baru," ujarnya.
5:09 PM
sy sokong..dan sy setuju benar la..