Kerajaan Selangor diminta untuk melunaskan dan menyempurnakan
janji-janji yang dibuat pada Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, sehingga rakyat
termakan janji, yang akhirnya menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN)
Selangor kalah dan hari ini menjadi pembangkang di negeri itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal
berkata, apa yang terjadi hari ini di Selangor, bukan sahaja janji-janji PRU
belum dilaksanakan, sebaliknya ‘janji-janji’ yang tidak dibuat seperti
percambahan dan pertumbuhan pesat premis-premis seperti rumah urut, judi yang
berleluasa tumbuh bak cendawan tumbuh selepas hujan.
“Akhirnya, rakyat yang rugi, kini sudah sampai masanya rakyat
memilih parti yang tepat untuk mentadbir Selangor berikutan tindakan kerajaan
negeri yang jelas memperdayakan rakyat Selangor dengan meraih undi melalui
janji-janji palsu mereka yang lalu.
“BN tidak sewenang-wenangnya membuat janji, tidak mudah untuk
melafazkan janji-janji yang sukar untuk ditunai ataupun dilaksanakan, tidak
seperti kerajaan negeri hari ini di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim
yang hanya pandai berjanji, namun apa yang dijanjikan melalui manifesto,
hakikatnya hari ini dilihat sebagai manifesto bukan satu perjanjian,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Serdang berkata
demikian kepada UMNO-Online ketika ditemui pada majlis Semarak Perjuangan NGO
Selangor, malam tadi di Taman Medan.
Tambahnya, hari ini rakyat khususnya rakyat Selangor perlu membuka
mata apabila Pakatan Pembangkang sudah mula menunjukkan belang dan sifat mereka
yang sebenar.
“Dahulu sebelum Mac 2008 mereka menjanjikan rakyat dengan pelbagai
janji – janji manis demi mendapat sokongan dan undi pengundi . Selepas Mac 2008
apabila mereka gagal untuk melaksanakan sebahagian besar janji mereka mula
menyalahkan BN di atas segala kegagalan mereka untuk menepati janji mereka.
“Jangan terpengaruh dengan segala dasar, polisi, manifesto dan
janji Pakatan Pembangkang dalam PRU 13 akan datang kerana kesemuanya hanyalah
jualan politik semata–mata dan bukanlah satu perjanjian yang mesti dilaksanakan
sebaliknya rakyat harus menyokong BN yang berpegang pada konsep Menepati Janji
dan bukannya memungkiri janji.
“Apakah maknanya perubahan dan konsep ubah untuk mengubah sebuah
kerajaan yang menepati janji dan digantikan dengan kerajaan yang tidak mampu
untuk melaksanakan janji mereka? Rakyat sepatutnya mengutamakan kestabilan
negara berbanding dengan konsep perubahan yang akan memudaratkan negara,”
tambahnya lagi.
0 Komen