Debat Rakyat – Peluang Rakyat Saksikan Pertemuan Tokoh NGO Berdebat Dengan Pemimpin BN dan Pakatan Selangor



Sekretariat Jom Tolak Pakatan akan meneruskan beberapa program roadshow dan minggu ini sahaja, empat program roadshow akan diadakan oleh sekretariat ini, ujar wakilnya Hamidzun Khairuddin.

Ujarnya, asas kepada program anjuran Sekretariat ini adalah 20 dalil yang dikenalpasti sepanjang lima tahun pemerintahan pakatan DAP-PKR dan Pas di negeri Selangor.

“Asas-asas kita berkisarkan isu yang berlaku di negeri Selangor. Realitinya sejak hampir  lima tahun diperintah kerajaan pakatan ini, Selangor dibelengu dengan pelbagai krisis, polemik, penyelewengan dan masalah yang tidak pernah selesai.

Dalam masa yang sama, apa yang lebih penting ialah pihak sekretariat akan mengadakan program Debat Rakyat. Pusingan pertama ini akan menemukan tokoh-tokoh NGO dengan pimpinan kanan Barisan Nasional.

Seperti minggu lepas, kita telah mengadakan pertemuan (debat rakyat) antara Datuk Dr Hassan Ali, Presiden JATI dengan Dato’ Seri Noh Omar dan pada minggu ini iaitu pada 8 Februari ini, kita akan menemukan pula YB Senator Ezam Mohd Noor dengan Dato’ Seri Noh Omar,” ujarnya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Seterusnya, pihak Sekretariat Jom Tolak Pakatan juga telah merancang untuk mengadakan Debat Rakyat antara pimpinan-pimpinan NGO seperti Dr Hassan Ali dengan ezam Mohd Noor, kemudian Datuk Zulkifli Noordin dengan Dato’ Seri Noh Omar, seterusnya antara Dr Hassan Ali dengan Dato’ Zulkifli Nordin dan akhirnya kita akan menemukan sekali lagi antara Datuk Dr Hassan Ali dengan Dato’ Seri Noh Omar.

“Ini merupakan pusingan pertama Debat Rakyat. Manakala pusingan kedua yang kita akan usahakan ialah untuk menemukan tokoh-tokoh NGO ini dengan pimpinan-pimpinan kanan parti pakatan – DAP, PKR dan Pas. Ini kita cadangkan akan dibuat pada bulan Mac ini.

Antara cadangannya ialah untuk menemukan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dengan Dato’ Zulkifli Noordin. Kita juga mencadangkan Debat Rakyat antara Dr Hassan Ali dengan Dr Rani Osman, Pesuruhjaya PAS negeri Selangor, kita juga mencadangkan debat antara saudara Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR merangkap Pengerusi PKR Selangor dengan Senator Ezam Mohd Noor dan akhir sekali, kita mahu mencadangkan pertemuan antara Dato’ Seri Noh Omar untuk berdebat rakyat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim,” ujarnya yang juga Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).

Tambahnya, Sekretariat Jom Tolak Pakatan ingin mengenengahkan isu-isu dengan fakta, kita mahu memberikan peluang kepada pakatan DAP, PKR dan PAS untuk mempertahankan 20 tuduhan, 20 dalil yang dikenalpasti sekretariat dalam bentuk berfakta dan kita kamu mengajak pimpinan pakatan ini untuk bersama-sama dalam debat rakyat ini.

“Sekaligus kita boleh memberikan maklumat yang lebih adil kepada semua, semua parti politik yang bertanding dan dalam masa yang sama, kita boleh memberikan fakta politik yang lebih adil kepada rakyat supaya rakyat boleh mengambil ikhtibar daripada pengalaman-pengalaman pemerintahan parti-parti yang ada pada hari ini atau parti-parti yang memerintah sebelum ini,” ujarnya lagi yang juga mantan Ketua AMK Negeri Selangor.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment