Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam
kenyataan media pada 17 Januari 2013 berpendapat isu kalimah Allah s.w.t telah
pun selesai berikutan keputusan Majlis Syura Ulama PAS empat hari sebelumnya
menolak penggunaan kalimah suci itu dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.
Jika Menteri Besar Kelantan itu terus beranggapan
sedemikian, namun realiti semasa tidak pun memihak kepada kehendaknya itu
sementelah lagi Pakatan Rakyat (PR)
tetap utuh dengan pendirian rasminya yang dicapai pada 8 Januari 2013.
Masih segar dalam ingatan ramai, pada tarikh tersebut
PR yang turut dianggotai PAS selepas selesai mesyuarat Majlis Pimpinan gabungan
itu telah sebulat suara bersetuju membenarkan kalimah suci Allah s.w.t diguna
pakai dalam kitab Bible.
Malah sehari selepas PR memuktamadkan pendirian
mereka, Nik Aziz sendiri menyatakan sokongan terbuka sambil menyifatkan
keputusan PR itu akan membuka ruang dakwah Islam kepada penganut agama lain.
Paling penting, persetujuan PR itu juga adalah
penegasan ulangan bagi keputusan bersama yang pernah mereka capai pada tahun
2010 yang bukan sahaja disokong oleh PAS, tetapi juga turut dukungan kuat
daripada Nik Aziz.
Walaupun sekarang PAS cuba menonjolkan pendirian baru
parti itu dengan bersandarkan keputusan rasmi dari Majlis Syura Ulama PAS pada
13 Januari 2013, hakikatnya ia tidak pun mengubah pendirian rasmi PR.
Ini bermakna gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang
berterusan mendesak PAS mematuhi persetujuan bersama sebelum ini mempunyai
merit yang tidak boleh dipertikaikan kerana selagi PAS kekal bersama PR, selagi
itulah PAS perlu patuh pada keputusan yang telah menjadi dasar rasmi PR.
"PR adalah sebuah organisasi yang besar
(dianggotai DAP dan PKR) manakala Majlis Syura hanya terdiri daripada Pas. Saya
kesal dengan kenyataan itu. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan
pendiriannya," demikian kata pemimpin veteran DAP itu sekaligus menafikan
kenyataan awal oleh Mursyidul Am PAS.
Apa yang diperkatakan oleh Karpal itu memang benar.
Soal Majlis Syura Ulama PAS telah membuat pendirian berbeza dengan PR tidak pun
menjejaskan dasar PR yang secara rasminya telah menyokong penggunaan kalimah
suci Allah s.w.t oleh orang bukan Islam untuk dimasukkan dalam kitab Bible.
Disebabkan berpegang teguh pada asas itulah hingga
saat ini PR kekal dengan pendirian asalnya, tidak tergugat dengan tindakan
drastik PAS yang telah mengubah pendiriannya. Sekaligus membuktikan keputusan
Majlis Syura Ulama PAS tidak memberi sebarang impak dalam menentukan hala tuju
gabungan tersebut.
Justeru itu, Nik Aziz mahupun PAS sendiri tidak layak
untuk mendabik dada mengumumkan isu kalimah Allah s.w.t telah selesai sepenuhnya.
Dan dalam tempoh singkat menjelang PRU 13 ini, isu kesucian kalimah Allah s.w.t
yang cuba dinodai PR akan terus menghantui PAS.
0 Komen