Langkah drastik PAS memecat keanggotaan bekas Timbalan
Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura Ulama parti itu terus
menarik perhatian umum sehingga memaksa ramai pimpinan PAS terpaksa tampil
dengan pelbagai kenyataan untuk menjustifikasikan logik tindakan tersebut.
Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya
dalam usaha mengurangkan kegusaran ahli dan penyokong bawahan, cuba memberi
gambaran isu pemecatan itu hanya proses biasa seumpama hubungan suami isteri
yang bila-bila masa sahaja boleh bercerai berai.
Manakala Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula
menganggap Ustaz Nasharudin kini hanyalah ahli biasa yang tidak berpengaruh dan
jika bekas Timbalan Presiden PAS itu menyertai UMNO sekalipun tiada kesannya
pada PAS.
Ulasan sedemikian yang buruk nadanya bukan satu
perkara baru bagi Hadi, sudah menjadi tabiat semulajadinya memperlekehkan
maruah orang lain. Sebelum ini Hadi pernah menghina rakyat Sarawak sebagai
golongan yang tiada pendidikan dan masih memakai cawat. Yang terbaru dihinanya
guru sekolah merendah kononnya hanya layak mengajar ABC sahaja.
Hakikatnya kenyataan dari kedua-dua pimpinan tertinggi
PAS itu mahupun pelbagai lagi kenyataan dari pimpinan PAS yang lain, sebetulnya
tersirat kegusaran yang mendalam, kerana itu seboleh mungkin mereka cuba
membina gambaran pada ahli dan penyokong PAS supaya memandang remeh saja isu
pemecatan Ustaz Nasharudin.
Mereka seperti baru tersedar wujudnya impak buruk dari
kes pemecatan itu yang mampu menjejaskan kelancaran jentera parti serta kesan
sampingan yang akan menggugat kepercayaan ahli dan penyokong terhadap PAS itu
sendiri.
Namun segalanya sudah terlambat, PAS tidak mengambil
iktibar peristiwa lepas yang melibatkan pemecatan bekas Naib presiden PAS, Dr
Hasan Ali dan bila kini kesilapan sama diulangi ke atas Ustaz Nasharudin, ia
seumpama PAS sengaja menempah keranda sendiri.
Sekarang kalangan ahli dan penyokong PAS tidak hanya
mempertikaikan kenapa Ustaz Nasharudin dipecat tanpa diberi peluang pembelaan
diri tapi mereka juga teramat ingin tahu mengapa Mursyidul Am PAS yang terkenal
paling kerap gagal menghadiri mesyuarat badan tertinggi PAS itu terkecuali dari
tindakan yang sama.
Malah bukan satu rahsia pun, ramai ahli PAS
memperkatakan kelesuan Majlis Syura Ulama PAS paling ketara kelihatan sejak ia
dipengerusikan oleh Nik Aziz. Sepanjang penggal yang lalu pula, langsung tiada
mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu yang bersangkut paut dengan dasar
parti termasuklah membabitkan isu negara Islam dan hukum hudud yang menjadi
pertikaian DAP serta PKR.
Dalam masa yang sama sudah banyak kedengaran rungutan
mempersoalkan kenapa seorang lagi ahli Majlis Syura iaitu bekas Ketua Dewan
Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang juga jarang hadir ke mesyuarat
masih terus diberi peluang menganggotai badan tersebut.
Paling utama ahli bawahan serta penyokong parti
tertanya-tanya mengapakah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terus menerus bebas
dari tindakan disiplin?
Umum mengetahui Hadi telah secara terbuka mendahului
keputusan Majlis Syura Ulama apabila dalam mesyurat tertinggi pemimpin PR yang
disertainya, beliau telah bersetuju membenarkan kalimah Allah s.w.t digunakan
dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.
Tindakan Hadi yang membuat keputusan songsang dan
bertentangan dengan keputusan rasmi Majlis Syura Ulama PAS bukan sahaja
melanggar kebiasaan malah ia meninggalkan tidak sedikit impak yang memalukan
sekaligus menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan PAS.
Dilihat dari segi kesalahan yang telah dilakukan oleh
Hadi, sewajarnya beliau sudah layak untuk dipecat dari Majlis Syura Ulama PAS.
Demikian halnya tindakan yang sama juga sepatutnya sudah diambil terhadap Nik
Aziz dan Mat Iraqi. Namun kenapa ketiga-tiga mereka terselamat?
Walau apapun persoalan yang khalayak umum lontarkan
serta apa sahaja yang ahli PAS pertikaikan, satu hakikat yang pasti PAS kini
sudah cukup sinonim dengan corak kepimpinan diktator dan ruang kebebasan juga
semakin sempit. Itu hakikatnya.
0 Komen