Selepas gagal membatalkan saman yang
difailkan oleh kumpulan ibu tunggal berhubung pembayaran elaun sebanyak RM100
sebulan serta tuntutan kumpulan yang menuntut air percuma, kerajaan negeri
Selangor hari ini terus berdepan dengan satu lagi tuntutan iaitu berkaitan
bantuan pendidikan prasekolah.
Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar
Said Ahmad berkata, ini berikutan kerajaan negeri dalam manifesto kempen
pilihan raya umum 2008, telah berjanji akan memberi bantuan RM50 sebulan kepada
kanak-kanak yang menghadiri pendidikan peringkat asas tersebut.
Jelas beliau, manifesto itu juga merujuk kepada seluruh keluarga
tanpa mengira jumlah pendapatan kerana tiada syarat dikenakan.
“Kerajaan Selangor hari ini jelas gagal memenuhi janji semasa
Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan
kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8
juta sejak tahun 2008. Jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang
memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.
Dalam masa yang sama, kita menafikan bahawa BBRS menghalang atau
menakutkan ibu-bapa Pra Sekolah untuk menerima bantuan pra persekolahan dari
kerajaan pakatan negeri Selangor. Persoalannya, kerajaan negeri tidak telus
untuk menyampaikan maklumat menyeluruh kepada rakyat Selangor khususnya kepada
ibu-bapa yang mempunyai anak di pra-sekolah, mengapa pilih bulu, mengapa pilih
kasih,” ujarnya kepada pemberita selepas bersama-sama dengan kumpulan ibu-bapa
dari kawasan Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam yang
mengadakan demostrasi menuntut janji PRU12 dari kerajaan negeri, di sini pagi
tadi.
Tambahnya, kenyataan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat dalam
website Selangorku merupakan kenyataan yang melulu dan tidak bertanggungjawab,
satu pembohongan besar dengan menuduh kerajaan pusat menyekat bantuan Skim Tunas
kerajaan negeri Selangor.
“Hakikatnya, YB Dr halimah seorang wakil rakyat yang tidak prihatin
dan tidak mengambil tahu jumlah sebenar anak-anak di prasekolah di negeri
Selangor. Untuk tahun 2013, kerajaan negeri Selangor Cuma mensasarkan 5,000
ibu-bapa sehingga Disember 2013.
Kalau YB Dr Halimah begitu prihatin di atas kanak-akanak
prasekolah, dah lari dari sasaran sebenar kerana di negeri Selangor sahaja, ada
kira-kira 25ribu hingga 30ribu kanak-kanak yang belajar di Tadika Kemas, Tabika
Perpaduan dan tadika swasta di negeri Selangor.
Kenyataan Dr Halimah bahawa bantuan ini, RM50 atau bantuan Skim
Tunas ini untuk keluarga yang berpendapatan RM1500 ke bawah tetapi janji dalam
manifesto tak sebut langsung. Mengapa hari ini ada syarat?,” ujarnya lagi yang
juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak.
Persoalan seterusnya, mengapa Skim Tunas ini baru dilancarkan pada
1 Julai 2012, setelah empat tahun pakatan PKR-DAP-PAS mentadbir negeri
Selangor. Janji yang dibuat ialah pada tahun 2008, bagaimana dari tahun 2008
hingga 2012, siapa yang nak bayar tuntutan ini.
“Sepatutnya pembayaran ini sudah dibuat sejak
Mac 2008 sehinggalah tahun 2013. Sehubungan dengan itu, nasihat kepada Dr Halimah, jangan berbohong kepada rakyat negeri
Selangor. Kalau nak buat Skim Tunas ini, buatlah dengan ikhlas, jangan banyak
main politik, jangan cakap tak serupa bikin, jangan tidak bertanggung dan tuduh
yang bukan-bukan kepada kerajaan pusat,” tambahnya lagi.
0 Komen