Lagi Ibu Tunggal Meng'harap' Kasih Dan Sayang Khalid Ibrahim .....





Lebih 500 ibu tunggal hari ini mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandum menuntut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunaikan janji manifesto pilihan raya umum (PRU) lepas untuk memberikan elaun RM100 sebulan kepada golongan itu.

Demonstrasi ini merupakan rentetan demostrasi bantahan serupa beberapa kumpulan ibu tunggal di seluruh negeri Selangor termasuk yang mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri Selangor tahun lalu.

Penyelaras Tuntutan Ibu Tunggal Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, hampir 50,000 golongan ibu tunggal diperdaya dan ditipu kerajaan PKR Selangor selepas gagal menerima elaun seperti dijanjikan.

“Ini merupakan kebangkitan golongan ibu tunggal yang dilihat sebagai satu penganiayaan kepada mereka tetapi dalam masa yang sama, dilihat sebagai satu petanda rakyat Selangor dah mula bangkit, dah mula sedar malah hakim di Mahkamah Tinggi Shah Alam sendiri telah memutuskan bahawa manifesto PRU12 yang lalu merupakan satu ikatan janji dengan rakyat.

Sehubungan dengan itu, kita sebagai pemimpin-pemimpin parti, jangan mudah berjanji sahaja tetapi gagal untuk menunaikan janji kerana rakyat sekarang sudah sedar dan celik untuk menilai mana kerajaan yang benar-benar mampu mentabir dengan baik atau kerajaan yang hanya pandai menipu,” ujarnya yang juga ADUN Semenyih.    

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman berkata, mereka hanya memperjuangkan apa yang sudah dijanjikan. Kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menepati janji pada pilihan raya lalu untuk memberi elaun kepada ibu tunggal.

Johan berkata pihaknya akan memeriksa dokumen diserahkan kumpulan ibu tunggal itu bagi membantu mereka mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan Selangor yang enggan menjelaskan tuntutan yang dibuat.

Beliau berkata semakin ramai ibu tunggal dari pelbagai kaum tampil menuntut hak dan mahu membawa perkara mengenai kegagalan kerajaan Selangor memberi elaun kepada golongan itu ke mahkamah di seluruh Selangor.

Katanya, sehingga kini sebanyak enam memorandum telah diterima berhubung tuntutan elaun ibu tunggal itu dari seluruh negeri termasuk Petaling Jaya, Gombak, Selayang, Hulu Langat, Semenyih dan Sungai Air Tawar.

“Tidak mustahil jika kerajaan Selangor masih berdegil dengan tuntutan ini, kira-kira 50,000 ibu tunggal pelbagai bangsa di negeri ini akan berarak dan mengadakan demonstrasi di Bangunan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri),” katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Datuk Raja Ideris Raja Ahmad berkata kumpulan ibu tunggal dari kawasan itu merupakan mereka yang kecewa dan rasa tertipu dengan janji-janji manis pembangkang sebelum ini.

Beliau berkata sebagai kerajaan yang mendakwa mereka menjaga kebajikan, nasib ibu tunggal sepatutnya dibela bukan dipermainkan seperti itu termasuk tidak menunaikan elaun bulanan seperti yang dijanjikan.

“Kumpulan ibu tunggal ini merupakan antara mereka yang terperdaya dengan manifesto pembangkang pada pilihan raya dahulu, mereka akui termakan kata-kata tapi akhirnya selepas hampir lima tahun janji tetap tinggal janji,” katanya.

Pada 23 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kerajaan Selangor dan Menteri Besarnya Tan Sri Abdul Khalid  Ibrahim untuk mengetepikan saman yang difailkan 2,020 ibu tunggal di negeri itu.

Saman itu adalah berhubung kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Pada 22 Nov tahun lepas, Murtini mewakili 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan tuntutan bagi menuntut tunggakan berjumlah RM10.9 juta dan mereka menamakan kerajaan negeri yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Abdul Khalid selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment