Kerajaan PKR
Selangor yang diketuai Menteri Besar, Khalid Ibrahim dalam kebanyakan kenyataan
media seringkali menuding jari menyalahkan kelemahan Syarikat Bekalan Air
Selangor (SYABAS) sebagai punca berlakunya krisis air di Selangor.
SYABAS dituduh
tidak berupaya menambah baik sistem bekalan air termasuk menukar ganti paip air
lama yang menyebabkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) di negeri itu
masih berada di paras yang tinggi.
Serentak dengan
itu juga Khalid menjadikan alasan tersebut untuk menjustifikasikan pentingnya penstrukturan
semula perkhidmatan air di negeri itu.
Walhal umum
mengetahui sejak Selangor diambil alih oleh PKR, kerajaan negeri telah
bertindak membekukan perbelanjaan modal (Capex), akibatnya pemegang konsesi air
itu terpaksa menghentikan kerja pembaikan serta menaik taraf paip.
Bila mana naik
taraf paip air dihentikan disebabkan Capex disekat, bermakna sasaran 19.98% NRW
gagal dicapai. Tanyalah sesiapa pun hatta kanak-kanak yang baru masuk sekolah
rendah pun tahu, tanpa modal perbelanjaan tidak mungkin barang lama berganti
baru.
Sedangkan ramai
yang maklum sekiranya Capex tidak disekat, sasaran tersebut tidak mustahil
dicapai. Sebagai contoh, dengan adanya Capex hasilnya pada tahun 2005 NRW yang
ketika itu ialah 42.78% telah berjaya dikurangkan kepada 37.65 peratus.
Manakala bagi
tahun 2008 37.28% NRW berjaya diturunkan kepada 33.17%. Namun selepas Kerajaan
PKR Selangor menyekat SYABAS menggunakan modal perbelanjaan Capex kesannya NRW
kekal diparas 33%.
Jelas sekali
tujuan Kerajaan PKR Selangor menyekat Capex tujuannya tak lain tak bukan untuk
mensabotaj SYABAS supaya orang ramai akan memfokuskan kemarahan mereka kepada
syarikat konsesi air itu selanjutnya menyokong saranan MB Selangor untuk
penstrukturan semula bekalan air.
Menyedari masalah
yang dihadapi SYABAS jika gagal ditangani segera kesan tempiasnya akan
menyebabkan orang ramai berdepan risiko masalah bekalan air bersih akhirnya
Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah
mengambil inisiatif memberi peruntukan tambahan RM120 juta.
Peruntukan itu
adalah tambahan kepada dana RM606 juta yang telah diberikan kepada Syabas
sebelum ini bertujuan untuk menambah baik bekalan air sekaligus mampu
mengurangkan kesan sampingan terhadap kehidupan rakyat Selangor.
Sepatutnya PKR dan
rakan sepakatannya dalam PR yang memerintah Selangor tika ini yang
sebetul-betulnya perlu memikul tanggungjawab membantu SYABAS apatah lagi
Kerajaan Negeri sendiri memiliki kepentingan 30% dalam syarikat konsesi air
itu.
Dengan kata lain
bantuan kewangan RM120 juta mahupun RM606 juta itu patutnya adalah
tanggungjawab Kerajaan PKR Selangor dan bukannya Kerajaan Pusat. Tapi
disebabkan MB yang paling lembap dalam sejarah negeri itu terlampau kemaruk
mahu mengambil alih SYABAS demi kepentingan kroni sendiri akhirnya tanggungjawab
tersebut gagal dilakukan.
Mujurlah Kerajaan
Pusat cepat menyedari denyut nadi kebimbangan khalayak umum, lantaran itu tanpa
mengira perbezaan politik maka bantuan kewangan tetap disalurkan demi
memastikan keselesaan rakyat disamping mengekang kesan sampingan lain terhadap
perkembangan ekonomi negeri.
Jika diharapkan
Kerajaan PKR Selangor yang asyik mengutamakan kepentingan politik silap gaya
saban minggu ada sahaja masalah bekalan air berlaku sebagaimana yang terjadi
baru-baru ini.
Apapun, majoriti
rakyat Selangor kini semakin faham permainan politik Kerajaan PKR Selangor yang
ternyata mendahulukan perihal politik kepartian mengatasi kepentingan khalayak,
bukannya satu model kepimpinan yang baik.
Cukuplah hampir 5
tahun rakyat Selangor dibuai retorik politik dan polemik yang tidak
berkesudahan. Justeru itu, eloklah PRU 13 kelak ditalkinkan sahaja Khalid
Ibrahim dan kerajaannya itu.
0 Komen