Meskipun kerajaan Selangor mendakwa mencatat
kemasukan pelaburan tertinggi di Malaysia dalam 10 bulan pertama tahun lepas
tetapi jumlah sebenar projek yang telah bermula pelaksanaannya disangsikan,
kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata, sejak negeri itu dilanda masalah
bekalan air pada tahun lepas, beberapa projek perkilangan dan perumahan baharu
tidak dapat dilaksanakan kerana Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas)
tidak dapat menjamin bekalan air yang cukup untuk kilang atau rumah baharu siap
dibina.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani berkata demikian dalam program ‘Debat Jom Tolak Pakatan’ yang turut
disertai Penasihat Waris Malaya Datuk
Zulkifli Nordin anjuran Sekretariat Jom Tolak Pakatan di Padang Jawa di sini
malam tadi.
Setakat ini 450 projek baharu di Selangor tidak
dapat dimulakan kerana air tidak cukup bila projek itu siap nanti dan ini
mengakibatkan kehilangan peluang pekerjaan sebanyak 20,000 kepada rakyat
Selangor, katanya.
“Inilah akibatnya jika air hendak dipolitikkan
oleh kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan Syabas mengakibatkan rakyat
menjadi mangsa.
“Berbeza dengan Barisan Nasional yang melihat air
ini penting dan telah bertindak dan bukan hanya bercakap bagi mengatasi masalah
air dalam jangka masa panjang dengan melakukan projek mitigasi bekalan air
melalui peruntukan RM606 juta yang menyaksikan sebuah loji rawatan air baharu
bernilai sekitar RM200 juta siap dibina di Sungai Labu pada tahun lepas.
“Loji ini kemudiannya diserahkan kepada kerajaan
negeri untuk diuruskan dan kalau kerajaan Persekutuan hendak bermain politik
mengapa loji ini diserahkan kepada kerajaan negeri?” katanya.
Sementara itu, Zulkifli mengingatkan anggota dan
penyokong Pas supaya melihat kembali arah perjuangan parti itu yang sudah
terpesong daripada landasan Islam dan terdedah kepada pengaruh-pengaruh asing.
Beliau berkata, DAP dan PKR tidak menghormati
keputusan dibuat Majlis Syura Pas yang menetapkan Kalimah ALLAH tidak boleh
digunakan oleh bukan Islam atas sebab akidah.
Selain itu, tegasnya gerakan-gerakan propembangkang di Malaysia
telah diresapi anasir-anasir luar yang
ingin menumbangkan kerajaan sedia ada sebagaimana berlaku di Mesir, Tunisia dan
Libya.
Zulkifli sendiri mengakui semasa beliau bersama
gerakan pembangkang dahulu, beliau sendiri pernah mendapat latihan di New York,
Amerika Syarikat, Vienna, Austria dan Filipina mengenai modul-modul
menumbangkan kerajaan menerusi politik jalan raya.
Sumber: Watan-Online
0 Komen