Akhir-akhir ini, UMNO begitu giat
mendekati golongan Ulama selain mengadakan program-program berunsur agama
termasuk yang melibatkan Ulama tersohor dari luar negara. ‘Pembaharuan’ yang dibuat oleh UMNO ini
membuktikan betapa UMNO serius dalam memperbaiki diri serta mengambil berat
tanggungjawabnya mempertahankan kesucian agama Islam, kesejahteraan Umat Melayu
serta sebagai ‘pengawal benteng’ kedudukan Melayu dan Islam iaitu Institusi
Raja-raja Melayu.
Walaupun begitu, UMNO tidak
pernah mempergunakan agama untuk kepentingan politik. Tetapi, di masa yang sama UMNO sentiasa
meminta pandangan dan mengalu-alukan penyertaan agamawan bagi memperkukuhkan
‘keperibadian’ UMNO itu sendiri. Malah,
kini desas desus bahawa UMNO bakal menyenaraikan beberapa Ulama sebagai calon
PRU-13 semakin kuat kedengaran.
Antara yang disebut-sebut adalah
beberapa personaliti yang cukup dikenali di dalam Ulama Muda Umno (ILMU),
termasuk Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya.
ILMU menampilkan golongan
agamawan yang membawa pendekatan professional dalam berdakwah iaitu dengan
membawa hujah-hujah akademik dan seruan ke arah perpaduan dan kemajuan bagi
membawa ummah ke arah budaya yang canggih agar lebih relevan dengan dunia hari
ini.
Namun, di masa yang sama kita
sedar bahawa pendekatan sebegini nampaknya masih sukar untuk menarik minat
segolongan besar masyarakat Islam yang sudah terlalu asyik dengan pendekatan
dakwah ringan, remeh dan cetek iaitu, secara bidas, sindir, umpat, kutuk dan
cela di mana pada dasarnya mengajak kepada perpepecahan, selain mengingkari
ajaran Islam yang melarang kita mengambil alih kerja Allah SWT untuk menghukum
dan menilai manusia lain.
Oleh itu, tinggilah harapan kita
sekiranya ada di antara agamawan di dalam ILMU menceburi politik secara
langsung agar dapat mengubah cara pemikiran masyarakat Islam di Malaysia.
Selain ILMU, khabar angin juga
membawa beberapa nama lain yang berpotensi dalam arena politik UMNO, seperti
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dan Ustazah Norbahiyah serta beberapa yang lain.
Jika semua khabar angin ini
benar, maka, satu perkara pokok yang wajar difahami ialah sekiranya para Ulama
ini menceburi politik maka tugas mereka bukan sahaja terhad kepada bidang
dakwah dan permasalahan agama, tetapi yang lebih penting ialah mereka wajib
untuk mempunyai skil untuk mentadbir dan memahami sedikit sebanyak selok-belok
ekonomi.
Kita tidak mahu kawasan yang
diterajui mereka menjadi seperti Kelantan, yang selamanya mundur di bawah
pemerintahan ‘Ulama’. Kita tidak mahu
nama ‘Ulama’ atau ‘Islam’ diperlekeh hanya kerana mereka tidak mampu
menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik.
Apa yang menarik mengenai
kesungguhan UMNO untuk memperbaiki diri dengan mendekati Islam ialah hakikat
bahawa saingan paling sengit parti ini, iaitu PAS pula mengambil langkah yang
seratus-peratus bertentangan. Sejak
bekerjasama dengan DAP dan PKR, PAS bertungkus lumus cuba menampilkan imej yang
terbuka, sekali gus meninggalkan imej ekstrem yang menjadi pakaian parti itu.
PAS berbangga dengan artis-artis
yang memilih untuk bersama PAS dan di masa yang sama, cuba menggambarkan Ulama
PAS sebagai sederhana. PAS juga tidak
segan silu melonjakkan artis-artis kurang cerdik dan bermasalah seperti Bob
Lokman, Abby Abadi atau Aishah sebagai ‘ikon’ mengatasi Ulama mereka. Artis-artis ini diusung ke hulu ke hilir
untuk berceramah mengajar orang lain mengenai agama, iaitu sesuatu yang baru
sahaja ditemui mereka.
Akibatnya, keluarlah segala karut
marut dari mulut artis-artis bingung ini seperti menuduh orang lain sebagai
kafir, serta ada juga yang begitu ‘takbur’ sehingga mencabar dan berdebat
dengan Ulama, hanya kerana Ulama tersebut tidak menyokong PAS.
PAS menampilkan artis-artis ini
sebagai ‘bukti’ keberkesanan tarbiyah mereka.
Walhal, apa yang terbukti
sebenarnya hanyalah kejahilan artis-artis tersebut, serta kerakusan Ulama PAS
yang sanggup membiarkan si jahil menyesatkan orang lain demi kepentingan
politik PAS.
Namun, melihat dari kesungguhan
PAS untuk membuktikan keterbukaan parti tersebut, tidak mustahil PAS akan
meletakkan artis-artis ini sebagai calon PRU-13.
Jika benar, rakyat Malaysia
bolehlah menyaksikan kempen pilihanraya paling meriah dalam sejarah apabila
ceramah Ulama UMNO bertembung dengan ceramah artis PAS.
0 Komen