Rakyat Selangor akan rugi sekiranya pakatan pembangkang terus berkuasa



Selangor akan mundur dan rakyatnya akan berada dalam kerugian sekiranya pakatan pembangkang dibenarkan terus berkuasa di negeri itu, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini.

Beliau berkata, ia kerana keadaan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan tidak sehaluan akan menyukarkan pelaksanaan projek pembangunan dan akhirnya rakyat sendiri akan rugi.

Katanya, keadaan ini jelas bila mana kerajaan negeri sekarang di bawah pakatan pembangkang lebih berminat menunjukkan kuasa mereka dan berpolitik sehingga menghalang projek pembangunan yang hendak dilaksanakan di Selangor oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, beberapa projek untuk kesejahteraan rakyat seperti cadangan pembinaan kampus cawangan Universiti Teknologi MARA di Serendah terbantut apabila kerajaan negeri tidak memberikan kebenaran merancang pembangunannya malah merampas tapak kampus itu milik Yayasan Kebajikan Kemiskinan.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Barisan 1Malaysia di Seksyen 7 di sini yang dihadiri 3,500 orang daripada 200 badan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun bagi menyatakan sokongan mereka kepada BN.

Selain itu, katanya, Projek Langat 2 juga terbantut sehingga sekarang kerana kerajaan negeri enggan memberikan kebenaran merancang bagi pembinaan loji rawatan air mentah yang akan dibawa masuk dari Pahang.

"Terowong air dah siap tapi loji memprosesnya tiada, dan Kerajaan Persekutuan bukannya menggunakan duit kerajaan negeri untuk bina kita cuma minta keluarkan kebenaran merancang saja," katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kerajaan negeri Selangor juga lebih hendak menunjukkan kuasa apabila bertindak menggantung projek jalan raya dan prasarana Persekutuan di Selangor sementara menanti proses rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kes melibatkan Majlis Perbandaran Sepang.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin memutuskan Majlis Perbadaran Sepang tidak mempunyai kuasa untuk meruntuhkan tiang dan menutup kamera AES (Sistem Pemnguatkuasaan Automatik) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Noh berkata, begitu juga dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkata kerajaan Selangor akan membubarkan Dewan Undangan Negeri selepas sambutan Chap Goh Mei dan mendakwa hasrat itu sudah mendapat persetujuan Sultan Selangor.

Katanya, mengikut amalan biasa jika seseorang Menteri Besar sudah menghadap Sultan untuk mendapatkan perkenan pembubaran dewan dan sudah mendapat perkenan baginda, beliau seharusnya terus mengumumkan tarikh pembubaran dewan.

Bagaimanapun, Noh berkata, sehingga sekarang tarikh pembubaran dewan tidak diumumkan oleh Abdul Khalid dan beliau yakin Selangor tidak akan membubarkan dewan undangan negeri dulu tetapi akan dibubar serentak dengan Parlimen.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau berharap NGO, juga kuasa ketiga di Malaysia selepas Kerajaan Persekutuan atau Negeri (Kuasa Pertama) dan parti-parti politik (Kuasa Kedua), akan terus menyokong kerajaan BN.

Program Himpunan Barisan 1Malaysia pada pagi ini juga himpunan keenam NGO-NGO selepas Sabah, Perlis, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor, katanya.

Beliau berkata, program yang bermula November tahun lalu dijangka selesai dilaksanakan di seluruh negara pada awal bulan depan.

Sumber: Noh Omar
Tags: , , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment