Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini menafikan khabar
angin kononnya 700 penceroboh militan akan memasuki Sabah untuk mencetuskan
huru-hara di negeri itu.
Beliau berkata penyebaran maklumat melalui media sosial dan SMS,
kononnya penceroboh militan itu akan memasuki Kota Kinabalu dan Tawau, adalah
tidak benar.
"Maklumat yang disebar dalam berita itu meminta pihak polis berhati-hati
dan meningkatkan kawalan keselamatan. Di sini saya nyatakan bahawa maklumat itu
bukan dikeluarkan oleh polis dan ia tidak betul," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen
Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Felda Sahabat 16, dekat sini, Ismail
menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dan panik dengan
maklumat yang tidak sah berhubung isu pencerobohan di Sabah.
"Kalau maklumat yang tidak disahkan sama ada oleh polis atau
tentera, jangan mudah percaya," katanya.
Ismail sekali lagi menegaskan bahawa keadaan keselamatan dan
keamanan di kawasan pantai timur negeri itu terkawal dan orang ramai tidak
perlu cemas.
Sehingga kini 52 penceroboh militan terbunuh dalam Op Daulat sejak
insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari
bandar Lahad Datu 12 Feb lepas.
Lapan anggota polis terkorban dalam tempoh itu iaitu dua dalam
pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam kejadian serang
hendap di Kampung Simunul, Semporna pada 2 Mac.
0 Komen