Aktiviti Masyarakat Felda Sahabat Semakin Pulih Susulan Langkah Keselamatan Kerajaan



Rutin harian masyarakat di sekitar Felda Sahabat kembali rancak hari ini susulan pengumuman penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Tinjauan Bernama pagi ini mendapati restoran dan kedai makan dibuka sejak
awal pagi dan kelihatan ramai penduduk mula keluar ke kawasan pekan di Felda Sahabat ini untuk menjalankan urusan harian mereka.

Keadaan di kawasan itu juga tenang dan terkawal.

Dalam pada itu, bunyi enjin pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia
kedengaran seawal pukul 7 pagi tadi, namun tiada bunyi letupan atau pertempuran didengari.

Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu berkenaan bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu.

Op Daulat yang masuk hari keempat hari ini menyaksikan 1,959 penduduk dari tujuh buah kampung telah berpindah ke pusat-pusat penempatan sementara iaitu 1,309 ditempatkan di Dewan Fajar Harapan dan 650 di Dewan Embara Budi.

Setakat ini 52 militan disahkan terbunuh sejak insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, 12 Feb lalu.

Insiden itu turut mengorbankan lapan anggota polis iaitu dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serangan hendap di Semporna pada 2 Mac.

Sumber: Bernama
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment