Pendirian kerajaan negeri Selangor tidak
meluluskan pembinaan projek loji rawatan air Langat 2 adalah satu
penyalahgunaan kuasa yang akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negeri ini
dan lambat laun akan menjadikannya negeri yang mundur, kata Menteri Pertanian
dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Noh, yang juga Timbalan Ketua Badan Perhubungan
UMNO Negeri, berkata kerajaan Barisan Nasional sejak 16 tahun dahulu merancang
projek membawa air mentah melalui terowong dari Pahang berharga RM4 bilion yang
kini hampir siap dan kerajaan negeri ketika itu bersetuju kawasan di Langat
digunakan untuk loji berkenaan.
“Dalam perjanjian asal, kerajaan negeri bersetuju
untuk kita menggunakan tanah di kawasan Langat untuk dijadikan loji Langat 2.
Itu sahaja…kuasa dia hanya membenarkan kita memulakan projek. Ini sahaja kuasa
dia, tetapi dia nampaknya nak tunjuk kuasa dan dia salah guna kuasa,” katanya
kepada Bernama dalam satu temu bual.
Noh berkata kuasa yang sepatutnya diberi untuk pembinaan
loji Langat 2 sebaliknya dinafikan dan kesannya hari ini Selangor sedang
berdepan dengan krisis air yang sudah pun mengakibatkan sekurang-kurangnya 440
projek yang berupaya mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan tidak dapat
dimulakan.
“Jadi, apa kesan dia? Peluang pekerjaan akan
tertutup, rumah tak boleh buat, hotel tak boleh buat, kompleks beli-belah tak
boleh buat dan Selangor lambat laun akan menjadi negeri mundur,” katanya.
Beliau berkata syarikat-syarikat yang telah
komited untuk melabur di Selangor sehingga kini masih menunggu untuk memulakan
projek-projek mereka yang tidak dapat dijalankan oleh kerana tiada jaminan
bekalan air yang mencukupi.
Sehubungan itu, Noh mahu semua rakyat Selangor
memandang perkara itu dengan serius demi memastikan kelangsungan negeri mereka
terus maju.
“Jadi untuk selesaikan masalah air ini, rakyat
Selangor tak ada pilihan, kena pastikan BN memerintah negeri Selangor.
Insya-Allah, selesai masalah air ini,” katanya merujuk kepada pilihan raya umum
yang akan diadakan tidak lama lagi.
Noh berkata rakyat Selangor juga harus sedar
bahawa isu air hanya satu gimik politik kerajaan negeri pimpinan pakatan
pembangkang yang kerap menyatakan mereka akan menyelesaikan masalah air tetapi
realitinya, keadaan semakin buruk.
“Percayalah cakap saya, mereka tidak akan dapat
menyelesaikan isu air selagi mereka memerintah negeri Selangor. Kerana isu nak
ambil alih air, isu Langat 2, dulu dia tuduh kita nak bagi kroni. Tetapi bila
kita buat tender terbuka untuk Langat 2, dia tak masuk pun open tender itu,”
kata beliau.
Oleh itu, Noh berkata kerajaan Persekutuan telah
membuat keputusan untuk meneruskan pembinaan loji Langat 2 demi masa depan
rakyat Selangor sementara Peguam Negara sedang mengkaji daripada segi
undang-undang demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata sekiranya loji Langat 2 tidak
disiapkan, rakyat Selangor dan negeri ini yang merupakan nadi kepada
pembangunan negara akan berdepan dengan krisis air.
“Betul, kuasa meluluskan development order
(arahan pembangunan) kuasa kerajaan negeri tetapi daripada segi undang-undang,
kita kena tengok yang mana lebih penting. Kepentingan nak menunjukkan kuasa
kerajaan negeri atau pun public interest (kepentingan awam). Walau apa pun,
kita telah minta Peguam Negara untuk membuat kajian dan kita akan teruskan
projek itu,” katanya.
Mengenai rancangan kerajaan negeri untuk
mengambil alih kepentingan syarikat-syarikat konsesi air melalui pengstrukturan
semula industri air sebagai helah tidak meluluskan Langat 2, Noh berkata isu
loji berkenaan dan pengstrukturan semula adalah dua perkara yang cukup berbeza
dan tidak boleh dikaitkan.
Katanya, beliau amat hairan kenapa Menteri Besar
Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang pernah satu masa dahulu mengetuai sebuah
syarikat korporat tidak faham urusan pengambilalihan Syarikat Bekalan Air
Selangor (SYABAS), yang sebahagiannya milik Puncak Niaga, yang merupakan
syarikat yang disenaraikan.
“Pengstrukturan semula air ialah proses willing
buyer willing seller (kesediaan pembeli dan kesediaan penjual). Macam mana
kerajaan negeri nak mengambil alih SYABAS. Takkah seorang yang kononnya bekas
tokoh korporat, tak faham prosedur nak mengambil alih syarikat public listed
company (syarikat senaraian awam). Mesti ada proses dia,” katanya.
Noh berkata terlalu banyak dolak-dalik kerajaan
negeri berhubung isu air dan jika keadaan ini dibiarkan berterusan, kerajaan
negeri akan “menjahanamkan masa depan rakyat”.
0 Komen