Semakin menghampiri tarikh Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU 13) semakin jelas perpecahan berlaku dalam kalangan anggota DAP Johor
yang dipimpin Dr Boo Cheng Hau.
Pekung yang cuba disembunyikan selama ini semakin tidak dapat
dilindungi lagi apabila Naib Pengerusi DAP negeri Ong Kow Meng sendiri mengakui
memang berlaku perpecahan dalam parti itu di Johor.
Beliau berkata berdasarkan maklumat balas yang diterima, memang
terdapat pemimpin dan anggota parti tidak lagi menyukai kepimpinan Dr Boo,
sehingga mencetuskan sikap berpuak-puak dalam parti.
"Sehubungan itu Dr Boo perlu mengotakan janji yang dibuatnya
pada mesyuarat jawatankuasa negeri pada 17 April lepas untuk melepaskan jawatan
sebagai pengerusi selepas pilihan raya.
"Jika beliau tidak berbuat demikian, kita tidak akan
teragak-agak untuk berkempen bagi menggesa anggota parti supaya tidak
mencalonkannya bertanding pada pemilihan kepimpinan DAP Johor Oktober depan,"
katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya pengunduran Dr Boo dapat menangani masalah perpecahan yang
berlaku, selain mempererat lagi hubungan antara DAP negeri dan DAP pusat.
Pada masa yang sama, beliau turut berharap pengganti Dr Boo kelak
seorang yang fleksibel dan mampu bertolak ansur.
Pertelagahan antara Ong dengan bosnya itu bukan satu perkara
baharu apabila beliau dan 16 cawangan
parti itu bersama-sama mengemukakan undi tidak percaya terhadap Adun Skudai
terbabit.
Dr Boo pula pernah mengeluarkan kenyataan kepada akhbar berbahasa
Cina di negeri ini bahawa beliau mencabar Adun Senai itu bertanding merebut
jawatan disandangnya pada pemilihan parti akan datang.
Pada sidang media yang sama Ong turut meminta anggota parti supaya
akur dan menyokong siapa juga yang dipilih menjadi calon untuk bertanding pada pilihan
raya umum nanti.
Katanya keputusan pucuk kepimpinan melepaskan Parlimen Segamat
kepada PKR untuk ditandingi Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng,
seharusnya dihormati bagi mengekalkan kesepakatan dalam parti.
0 Komen