Kerajaan negeri Kedah tidak mengizinkan kalimah Allah digunakan
oleh orang bukan Islam dalam kitab mereka dan memberi amaran keras bahawa
tindakan tegas akan diambil terhadap golongan yang menyalahgunakan kalimah suci
itu.
Ketika memberi amaran itu, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr
Mahathir turut menyifatkan golongan bukan Islam yang mahu menggunakan kalimah
Allah dalam Bible versi bahasa Melayu sebagai mempunyai manifestasi tidak baik
terhadap umat Islam di samping cuba mengelirukan generasi muda Islam.
"Kita tidak boleh terima alasan mereka kerana di sebalik
alasan tersebut tersembunyi matlamat hendak memurtadkan umat Islam,"
katanya sambil meminta umat Islam memberi mesej jelas kepada pihak luar yang
menyokong kalimah Allah dibenar digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Mukhriz menegaskan Allah adalah tuhan umat Islam dan tidak boleh
ditukar dengan istilah 'God' iaitu tuhan secara umum dan jauh sekali
'Lord' yang bermaksud 'tuan' dalam bahasa Melayu.
"Sekiranya perkara ini berlaku di Kedah kita tidak
teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka kerana tidak sensitif
dengan majoriti orang Melayu beragama Islam," katanya.
Baru-baru ini Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino mengeluarkan
kenyataan menyokong kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam, yang mendapat
kecaman daripada banyak pihak.
Mukhriz berkata beliau juga mahu umat Islam memberi mesej jelas
kepada golongan yang mempersendakan bulan Ramadan kerana perbuatan itu
sememangnya disengajakan.
"Dalam negara mengandungi rakyat berbilang kaum dan pegangan
agama, kita tidak boleh bermain dengan pegangan agama orang lain kerana ia amat
sensitif.
"Mereka (pihak yang mempersendakan Ramadan) kena faham dari
mana mereka datang. Siapa yang mendoktrinkan mereka sehingga sanggup
memperlekeh agama orang lain, lagi-lagi di negara majoriti rakyatnya adalah
Islam.
"Ini tidak biasa dilakukan.....kita tak berani nak
bermain-main dengan pegangan agama orang lain. Saya tidak faham bagaimana
perkara ini boleh berlaku," kata Mukhriz berhubung pasangan Alvin Tan dan
Vivian Lee yang mempersendakan agama Islam dalam bulan Ramadan dalam Facebook
mereka.
Pasangan itu tampil memberi keterangan di Jabatan Penguatkuasaan
dan Siasatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia semalam.
Mukhriz berkata tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran
supaya tidak ada lagi orang mengambil kesempatan atas sikap berprasangka baik
umat Islam Malaysia selain agar perbuatan seperti ini tidak berulang dan
berlarutan.
Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat perkara ini sehingga
mengenal pasti pihak yang menyuntik doktrin bertujuan memecahbelahkan perpaduan
masyarakat Malaysia.
0 Komen