Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina
Merican mengucapkan 'takziah' kepada mantan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh kerana
terpaksa membuat keputusan yang sukar, semata-mata mahu memberikan peluang
kepada seorang individu dari 'luar Selangor' untuk bertanding di kawasan
tersebut pada Pilihan Raya Kecil tidak lama lagi.
Dalam pengumuman keputusan untuk meletakkan Anwar Ibrahim
bertanding di DUN Kajang pada Pilihan Raya Kecil DUN Kajang nanti , beberapa
kali Anwar Ibrahim mengatakan bahawa ini adalah usaha melonjak 'khidmat
cemerlang' PKR Selangor selama ini.
“Kepada saya, ayat tersebut hanya bermakna bahawa ini adalah usaha
'melonjak' ego politik Anwar semata-mata.
Ahli PKR, rakyat Selangor, pengundi di DUN Kajang sepatutnya
membuka mata bahawa ini adalah permainan politik penting diri dan tidak hemah
dalam menilai kepercayaan rakyat.
Pada pandangan peribadi saya, Barisan Nasional (BN) wajar membuat
kajian yang lebih teliti samada mahu terlibat di dalam PRK yang bukan sahaja
mempunyai nilai moraliti yang rendah, malahan hanya menjadi alat pemuas berahi
kepada seorang yang sangat kemaruk dengan kuasa. Anwar sudah menjadikan rakyat
sebagai ‘komoditi politik’ untuk menyelesai masalah dalaman,” ujarnya dalam
kenyataan yang disiarkan melalui FB peribadinya.
Ujarnya, secara psikologi, ia akan membuktikan kepada pengundi di
Selangor bahawa mereka sudah memilih seorang ‘raksasa politik’ yang haloba dan
hanya melihat kedudukan peribadinya sendiri. Berkemungkinan juga, kemenangan
Anwar, walaupun secara percuma, bakal merosakkan imej PKR, DAP dan PAS di dalam
jangkamasa panjang.
“Kita tidak seharusnya terikut-ikut dengan kegilaan dan kemaruk
kuasa Anwar ini. Apa yang berlaku ini sekadar menunjukkan kepada rakyat, ‘siapa
Anwar’ yang sebenarnya. PKR wajar membuang sama sekali perkataan ‘reformasi’
daripada kamus parti tersebut, kerana Anwar baru sahaja melempar ‘reformasi’ ke
dalam longkang yang kotor dan hanyir,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kepala
Batas.
0 Komen