Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul khas di Dewan Rakyat
hari ini bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi yang
menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Perdana Menteri berkata usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3)
itu turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan dan kenalan
penumpang serta anak-anak kapal pesawat berkenaan.
"Bahawa dewan ini (juga) menyatakan ucapan terima kasih tidak
terhingga kepada semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama dan bantuan
dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), khususnya kepada negara-negara luar
yang telah banyak memberikan bantuan dalam operasi tersebut.
"Apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin
bulan-bulan akan datang ini ialah untuk mencari segala serpihan, rangka serta
objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370 supaya kita boleh mengesahkan
tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah hilang di selatan Lautan Hindi,"
katanya.
Dalam sidang akhbar malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan
penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah
malam 8 Mac menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari
yang sama.
0 Komen