Maklumat baharu berkaitan rekod radar dalam operasi mencari dan
menyelamat penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS), yang masuk hari kelima,
mungkin membantu pakar serta pihak berkuasa terbabit merungkai misteri yang
menyelubungi kehilangan pesawat itu.
Petunjuk terbaharu itu bagaimanapun terus mencetus pelbagai teori
berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang dalam perjalanan dari Kuala
Lumpur ke Beijing pada awal Sabtu lepas.
Pihak berkuasa Malaysia kini bekerjasama dengan pakar penerbangan antarabangsa
meneliti kedua-dua rekod radar Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan
militari berhubung laluan penerbangan MH370 sebelum pesawat itu hilang.
Menteri Pertahanan merangkap Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia bekerjasama dengan Lembaga
Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat, Lembaga Penerbangan Persekutuan
Amerika Syarikat dan Syarikat Boeing dalam meneliti rekod kedua-dua radar.
Beliau berkata radar DCA menunjukkan butiran bahawa terdapat
pesawat yang terbang di ruang udara negara.
Radar militari pula, selain memaparkan plot yang mewakili sesebuah
pesawat,
turut merekod satu pergerakan yang kemudian hilang pada 2.15 pagi
di kawasan 200 batu barat laut Pulau Pinang.
"Memandangkan terdapat perbezaan maklumat antara kedua-dua
radar, kami kini cuba menentukan sama ada penerbangan yang ditunjuk dalam radar
berkenaan ialah MH370," katanya.
Sementara itu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan
Sri Rodzali Daud Mohd Zin berkata kali terakhir isyarat pesawat itu hilang dari
radar DCA ialah pada 1.30 pagi di utara pantai timur pada 8 Mac.
Beliau berkata radar militari turut mengesan sebuah pesawat yang
didapati menuju ke kawasan pantai barat dari Laut China Selatan dipercayai
mungkin penerbangan MH370 kerana radar berkenaan tidak dapat mengenal pasti pesawat
itu.
Memandangkan maklumat berhubung laluan penerbangan pesawat agak
kabur, pihak berkuasa memulakan operasi SAR di dua lokasi iaitu 120 batu
nautika dari bahagian timur Kota Baharu dan Selat Melaka.
Malaysia turut memperluas kawasan pencarian MH370 kepada 27,000
batu nautika persegi di dua kawasan dengan memfokus di Selat Melaka dan Laut
China Selatan.
Pencarian di Selat Melaka meliputi 12,425 batu nautika persegi
manakala di Laut China Selatan kira-kira 14,440 batu nautika persegi.
Hishammudin memberi jaminan bahawa pihak berkuasa yang berusaha
sedaya upaya untuk mencari MH370.
Setakat ini, jumlah aset yang digerak dalam operasi SAR meningkat
kepada 42 kapal laut dan 39 pesawat dengan disertai 12 negara, yang terbaharu
ialah India, Japan serta Brunei.
0 Komen