Usaha mencari objek yang mungkin ada kaitan dengan pesawat
Malaysia Airlines (MAS) yang hilang pada 8 Mac lepas di kawasan pencarian
seluas 23,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, mungkin mengambil masa
berhari-hari kerana keadaan cuaca buruk.
Laporan agensi berita Australian Association Press (AAP) itu yang
memetik kerajaan Australia, turut menyatakan usaha mencari diteruskan selepas
pesawat Australia dan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis gagal mengesan
kedua-dua objek yang dirakam oleh satelit kira-kira 2,500 km dari barat daya
Perth, awal minggu ini.
Empat pesawat tentera iaitu dua daripada Tentera Udara Diraja
Australia serta masing-masing satu dari New Zealand dan AS dikerah ke lokasi
pada Jumaat.
Kapal dagang Norway, St Petersburg masih berada di kawasan itu dan
sebuah lagi kapal dagang dijangka tiba pada Jumaat malam. Kapal Tentera Laut
Diraja Australia HMAS Success juga dalam perjalanan dan dijangka tiba pada
Sabtu.
"Setakat ini tiada objek dikesan," lapor AAP yang
memetik Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam laporan
terkini pertamanya pada Jumaat.
Pemangku Perdana Menteri Warren Truss berkata keadaan cuaca adalah
buruk.
Beliau berkata usaha pencarian "sukar dan mencabar"
terutama kerana objek terbabit mungkin telah hanyut agak jauh dari tempat asal
ia dicerap oleh satelit pada 16 Mac.
Kerajaan juga mengingatkan walaupun imej satelit itu kredibel,
objek mungkin tidak ada kaitan dengan pesawat tersebut.
Perdana Menteri Tony Abbott memberitahu pemberita di Papua New
Guinea pada Khamis malam, penemuan itu merupakan petunjuk paling positif
setakat ini dalam
usaha mengesan penerbangan MH370 yang hilang bersama-sama 239
penumpang dan anak kapal hampir dua minggu lepas.
"Kita tidak tidak tahu apakah yang sebenarnya dicerap oleh
satelit itu sehingga kita dapat lihat dari dekat, akan tetapi ini petunjuk
paling memberangsangkan dalam satu kejadian misteri yang begitu membingungkan.
"Kita menawarkan semua sumber yang boleh untuk membantu. Kita
akan melakukan apa yang terdaya untuk menyelesaikan kejadian ini,"
katanya.
0 Komen