Ahli Umno perlu bersatu, perlu bijak ambil kesempatan


Ahli Umno perlu bersatu dan bijak mengambil peluang terhadap kesempatan pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang sekarang ini.

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Umno parti terbesar yang mempunyai keahlian seramai 3.5 juta orang yang mempunyai kekuatan padu untuk menangkis propaganda pembangkang dan menyerang mereka kembali.

Namun malangnya kata beliau, ada sebahagian ahli Umno tidak bijak mengambil kesempatan itu, malah lebih gemar bertelagah sesama sendiri seolah-olah 'membuka pekung di dada' sehingga menampakkan kelemahan parti.

Katanya, keadaan itu menjadi lebih buruk apabila muncul penganalisis 'mi segera', pahlawan-pahlawan keyboard di media sosial dan sebagainya yang mengeluarkan lagi kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya sehingga memanaskan lagi keadaan.

"Senjata sudah diberikan oleh parti pembangkang sendiri siap dengan pelurunya, tetapi tidak digunakan dengan baik. Ini kerana ada dalam kalangan ahli Umno yang lebih gemar menyerang institusi sendiri daripada menyerang pemimpin parti pembangkang. Hal ini tidak akan menguatkan Umno, tetapi akan menggoyahkan lagi sokongan di peringkat akar umbi," katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas krisis politik di dalam parti pembangkang khususnya Pas yang semakin meruncing.

Semalam Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dilaporkan menyindir Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka mengatakan Presiden Pas itu hebat sebagai ahli agama tetapi gagal menawan Terengganu.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut menegaskan bahawa Pas tetap perlu berada dalam pakatan pembangkang.

Sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menyerang Abdul Hadi yang disifatkannya 'badan dalam PR tetapi hati lebih condong kepada Umno'.

Nazir yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa berkata, dalam keadaan pemimpin pembangkang sedang hebat bercakaran, ahli Umno perlu menguatkan saf untuk mengembalikan semula sokongan rakyat.

"Ini peluang yang sudah terhidang untuk membuktikan bahawa pemimpin pembangkang tidak mampu mengendalikan parti, apatah lagi mahu mentadbir negara. Kalau mereka jadi pemerintah, tidak mustahil negara kucar kacir kerana mereka ini 'tidur sebantal tetapi mimpi asing-asing'," tegasnya.

Justeru beliau mengajak semua ahli Umno agar bersolidariti menyokong kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak goyah dengan anasir luar dan dalam yang cuba menjatuhkan parti keramat ini.

"Bila pembangkang usik Umno, semua menyorok bawah meja tak berani pertahankan parti sendiri. Kalau 3.5 juta ahli bersatu hati, insyaallah Umno akan terus menjadi parti yang kuat dan terus memperjuangkan orang Melayu," katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment