Kayuhan Hari Malaysia 2015 Usaha Satukan Rakyat Tolak Fitnah Di Media Sosial


KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Penganjuran Program Kayuhan Hari Malaysia 2015 anjuran Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan Pemuda UMNO Malaysia merupakan satu usaha dalam memastikan perpaduan dan keharmonian kaum di Negara ini terus terpelihara.

Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Program Kayuhan Hari Malaysia  ini juga menjadi salah satu pengisian dalam sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia bagi tahun 2015 ini.

“Program Kayuhan Hari Malaysia ini menerapkan kempen #TolakFitnahMediaSosial dan #SayaSayangMalaysia bertujuan untuk mendidik rakyat negara ini khususnya golongan muda agar menilai serta memastikan berita atau maklumat yang diterima melalui media sosial dikaji sebaiknya agar maklumat yang diterima adalah sahih kerana jika tidak boleh mendatangkan kesan negatif kepada negara dan keharmonian kaum.

Program ini mensasarkan 10,000 orang peminat sukan berbasikal daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa yang dijadualkan berlangsung pada 11 September 2015 (Jumaat), bermula 8.00 malam bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia akan turut bersama-sama menyempurnakan program tersebut yang melibatkan kayuhan sejauh 38 kilometer melalui jalan-jalan utama di Bandaraya Kuala Lumpur. Program ini juga julung kali diadakan di negara ini pada waktu malam,” ujarnya yang juga merupakan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab dan peranan Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan dan Pemuda UMNO khususnya untuk memastikan masyarakat  terutamanya golongan muda khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan utama golongan tersebut untuk sedar betapa pentingnya menjaga perpaduan di kalangan kaum memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang majmuk dengan pelbagai agama, bangsa, bahasa, adat dan budaya.

Program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur dan bangsa dan kepada mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran di lawan web rasmi program www.malaysiadayride.com. Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 6 September 2015.

“Diharapkan melalui kempen #TolakFitnahMediaSosial dan #SayaSayangMalaysia ini dapat memberi kesan yang baik di dalam penggunaan media sosial yang menjadi medium utama golongan muda hari ini. Sebagai contoh, kita tidak mahu insiden seperti isu di Plaza Low Yat baru-baru ini yang digunakan oleh sesetengah pihak untuk mengeruhkan lagi keadaan berulang semula.

Tindakan undang-undang telah dikenakan kepada individu-individu yang menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak tepat berkenaan isu tersebut. Itu merupakan pengajaran yang terbaik agar selepas ini tiada mana-mana pihak menggunakan media sosial untuk tujuan cuba merosakkan kesucian agama, nama baik negara dan keharmonian bangsa,” ujarnya ketika Pra Pelancaran Program Kayuhan Hari Malaysia 2015 di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, pihak Biro juga mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana agensi kerajaan, syarikat GLC, syarikat multinasional, syarikat korporat dan individu yang ingin turut sama menjayakan program ini melalui penyaluran sumbangan boleh berhubung terus dengan Sekretariat (Mohd Azmir – 0182255815 dan Athirah – 0176031850).

“Mana-mana pihak yang menjadi penyumbang kepada program ini akan diberikan faedah pengiklanan melalui ruangan-ruangan iklan dan pakaian rasmi program,” tambahnya. 
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment