1.
Pada sekitar 7 Julai 2016, Naib Presiden PKR, Darell Leiking dilaporkan telah
memuat naik status menerusi akaun Facebook peribadi beliau, yang antara lain
kandungannya, mempertikaikan khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) sempena Aidilfitri 6 Julai lalu yang ada menyentuh mengenai
usaha dalam mempertingkatkan serta memartabatkan institusi perundangan Syariah
menerusi usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.
2.
Paling mendukacitakan, kenyataan Darell yang dibuat Ahli Parlimen Penampang,
Sabah yang mengaitkan kandungan khutbah tersebut seolah-olah satu satu
permulaan Selangor ini diuruskan oleh golongan ekstremis itu adalah kenyataan
yang sangat berniat jahat dan semborono yang jelas sekali menunjukkan
kedangkalan ilmu, kecetekan budi bahasa serta kegagalan beliau dalam memahami
isu sebenar mengenai perkara itu. Ini termasuklah beliau juga tidak peka serta
memahami sensitiviti rakyat khususnya umat Islam di Malaysia.
3.
Umum mengetahui bahawa JAIS adalah bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di
Selangor dan perlaksanaan oleh pihak berkuasa yang dilantik itu adalah selaras
dengan peruntukan dan bidang kuasa DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah, yang merupakan Ketua Agama Negeri.
4.
Justeru, kenyataan dangkal serta salah fakta yang dibuat oleh Darell tersebut
yang menyatakan negeri ini diuruskan oleh golongan ekstremis sudah tentunya
akan terpalit kepada DYMM Sultan Selangor sekaligus telah memperlihatkan beliau
melemparkan suatu penghinaan yang tidak berasas sama sekali terhadap Baginda
Sultan selaku Ketua Agama Negeri.
5.
Rakyat sebenarnya telah mula muak dan jijik dengan sikap serta amalan politik
keterlaluan yang cuba menyentuh sensitiviti agama dan umat Islam yang hanya
bertujuan untuk meraih sedikit perhatian dan populariti politik. Amalan politik
keterlaluan seumpama ini harus ditegah oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman,
agama , kaum dan latar belakang demi keharmonian dan keutuhan kita bersama.
6.
Lanjut daripada itu, demi untuk mengelakkan perkara ini terus berulang lagi,
saya mencabar PKR dengan segala kuasa yang mereka ada, supaya tidak hanya
berpeluk tubuh dan mengandaikan tindakan Darell itu tidak membawa apa-apa makna
atau kesan kepada masyarakat. Sebaliknya, PKR khususnya Timbalan Presidennya,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlulah dengan seberapa segera untuk mengambil
tindakan kepada Darell sebagai pengajaran dan panduan untuk masa mendatang.
7.
Sebagai YAB Menteri Besar, adalah sangat tidak wajar untuk Mohamed Azmin
membiarkan tindakan Darell itu dilakukan sama sekali. Saya memilih untuk
bersetuju dengan tindakan JAIS yang difahamkan telah membuat laporan terhadap
Darell mengenai isu tersebut hari ini demi menjaga kedudukan Islam di negeri
ini.
BUDIMAN
MOHD. ZOHDI
Ahli Parlimen Sungai Besar
16 Julai 2016.
0 Komen