Tindakan Tegas Terhadap Pihak Sebabkan Pencemaran Ammonia Di Sungai Johor - Khaled



Kerajaan Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran ammonia yang dikesan di Sungai Johor dekat Kota Tinggi, semalam.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan perbuatan tersebut yang menyebabkan kualiti air mentah sungai berkenaan merosot sehingga menjejaskan 120,000 pengguna.

“Segala usaha sedang dilakukan untuk mengatasi masalah itu (pencemaran) dan mengurangkan kerumitan kepada penduduk. Saya berharap semua pihak dapat bersabar dan memahami usaha yang sedang dibuat pihak SAJ (Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd) bagi mengatasi perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera negeri Johor kepada kontinjen Harimau Selatan sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2016, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Kontinjen Sukma Johor, Ali
Mazat Salleh.

Mohamed Khaled berkata SAJ dan Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj) setakat ini tidak dapat mengesan punca pencemaran itu berlaku serta pihak yang bertanggungjawab dan siasatan masih diteruskan.

Semalam, pencemaran di Sungai Johor itu menyebabkan tiga loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor, LRA Semangar dan LRA Tai Hong ditutup sementara.

Ketiga-tiga loji, bagaimanapun, beroperasi semula secara berperingkat sejak tengah malam tadi dengan LRA Sungai Johor dibuka semula operasinya pada pukul 12 tengah malam tadi manakala LRA Semangar dan Tai Hong masing-masing dibuka pada pukul 5 dan 8 pagi ini.

Sementara itu, mengenai Sukma 2016 yang akan berlangsung di Sarawak bermula 22 Julai ini, Mohamed Khaled berharap penyertaan kontinjen Johor dapat mengutip pengalaman dari segi penganjuran memandangkan Johor akan menjadi tuan rumah bagi temasya sukan itu pada tahun 2020.

Menurutnya, segala perancangan mengenai penganjuran tersebut perlu dilakukan sekarang memandangkan tempoh empat tahun itu tidak begitu lama lagi.


“Saya turut mendoakan atlet kita dapat menunjukkan semangat juang yang tinggi dan membawa pulang 30 pingat emas yang disasarkan dengan menyertai 23 daripada 24 acara yang dipertandingkan,” katanya dan menambah kontinjen Johor yang disertai seramai 497 pegawai dan atlet akan berlepas ke Sarawak Jumaat ini.
Tags: , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment