UMNO Johor menzahirkan rasa dukacita atas keputusan Naib Presiden
UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk meninggalkan parti, serta tindakan ADUN
Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Salleh meletak jawatan sebagai Naib Ketua UMNO
Bahagian Pagoh.
Walaubagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’
Mohamed Khaled Nordin, terus berharap agar semua pihak bersikap rasional dan
tidak bertindak dengan terburu-buru.
“Datuk Shafie Apdal saya percaya menjangkakan (tindakan disiplin)
agaknya, sebab itu dia ambil tindakan sebegitu. Kita dukacitalah sebab dia
terpaksa melalui keadaan yang sebegitu. Tapi itu hak dia”
“Begitu juga hak ADUN Jorak (Dr. Shahruddin), kerana dia berpegang
kepada keputusan UMNO Bahagian Pagoh yang tidak mahu terima keputusan yang
diambil oleh Majlis Tertinggi.”
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Pampasan dan
Berbuka Puasa Bersama Penduduk Kampung Saujana Baru, di Plentong semalam.
Tambah beliau, tindakan Dr. Shahruddin mungkin reaksi kepada
pihak-pihak yang mahukan tindakan disiplin dikenakan ke atas UMNO Bahagian
Pagoh ekoran pendirian yang mereka ambil terhadap keputusan Majlis Tertinggi
UMNO.
Menurut Mohamed Khaled, kejadian-kejadian seperti ini sememangnya
akan berlaku dalam situasi politik yang sedang dialami UMNO.
“Bagi UMNO Johor, kita tidak mahu cakap apa-apa dahulu, kita
hendak mententeramkan keadaan. Kita percaya ramai yang dukacita. Bagi saya,
keadaan-keadaan seperti ini akan berlaku dan saya berharap semua pihak bersikap
rasional dan tidak mengambil tindakan yang terburu-buru,” ujarnya.
“Kita berharap supaya kita dapat melalui Ramadan ini, kemudian
menyambut Hari Raya, kemudian kita tengok macam mana perkembangannya,”
Terdahulu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, YB Datuk Md
Jais bin Sarday mengesahkan Dr Shahruddin telah menghantar surat perletakan
jawatan secara ringkas kepada pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail
Mohamed pada Ahad lalu.
Menurut Datuk Md Jais bin Sarday, seramai tujuh anggota UMNO
daripada bahagian tersebut termasuk empat ketua cawangan memilih untuk keluar sejak
Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari parti.
Beliau berharap anggota UMNO Johor dapat bertenang dan tidak
beremosi dengan insiden yang sedang berlaku. Setakat ini, terdapat sebanyak 25
perletakan jawatan membabitkan UMNO bahagian Johor.



0 Komen
Post a Comment