Misi Kemanusiaan Bencana Gempa Bumi Acheh BKUM Berjaya


Seramai 20 orang Biro Kebajikan UMNO Malaysia yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di kawasan Pidie Jaya, Aceh selamat tiba di tanah air.

Ketua Sekretariat Misi BKUM, Mohd. Shoubli Jamal berkata, misi selama lima hari sejak Rabu lalu itu berjaya ditamatkan dengan bantuan diberikan kepada seramai 300 mangsa gempa bumi.

“Alhamdulillah, misi kami membantu mangsa gempa bumi di Pidie Jaya berjaya, kami juga berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan meskipun terdapat beberapa dugaan dan cabaran dalam menyempurnakan misi ini,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini pagi ini.

Pasukan sukarelawan BKUM itu terdiri daripada doktor, pegawai perubatan dan kaunselor. Turut menyertai misi tersebut seramai enam petugas media.

Selepas berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan misi yang bermula Rabu lalu, para sukarelawan BKUM boleh menarik nafas lega kerana akhirnya dapat menunaikan 'hajat' masing-masing untuk membantu mangsa gempa bumi yang masih lagi trauma.

Sejak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Idris Muda di Banda Aceh Rabu lalu, 30 sukarelawan BKUM telah pun diuji apabila terpaksa menunggu sehingga lebih dua jam sebelum diberikan kebenaran oleh pihak imigresen Indonesia masuk ke wilayah ini.

Selain itu, para sukarelawan juga perlu menempuh perjalanan berliku selama lebih tiga jam untuk menuju ke kawasan Pidie Jaya yang terjejas teruk akibat gempa bumi berukuran 6.4 skala richter pada 7 Disember lalu sehingga mengorbankan 102 nyawa.

Setibanya di sana, pasukan sukarelawan yang terdiri dalam kalangan doktor, pegawai perubatan dan kaunselor perlu berhadapan pula dengan karenah birokrasi hospital ketika mahu menyalurkan bantuan ubat-ubatan.

Bagaimanapun, cabaran-cabaran itu tidak sedikit pun mematahkan semangat para sukarelawan yang telah menetapkan tujuan mereka bahawa dalam keadaan apa pun bantuan perubatan perlu diberikan kepada mangsa gempa bumi.

Berkat kesabaran dan keikhlasan mereka untuk mambantu saudara seagama, hasrat mahu menyumbang kepada masyarakat Pidie Jaya yang masih trauma dengan kejadian gempa bumi lalu dapat direalisasikan.

Pasukan sukarelawan Bkum diminta membuka khemah rawatan di Kampung Meunasah Lhok, Pidie Jaya dan selama dua hari di situ, mereka berjaya memberi rawatan kepada lebih 300 penduduk terjejas gempa bumi dan mengembalikan semula senyuman di wajah kanak-kanak setempat.

Shoubli berkata, majoriti mangsa masih trauma dengan kejadian gempa bumi itu tetapi sukarelawan BKUM berjaya memberi keyakinan melalui sesi kaunseling di klinik sementara yang dibuka di Masjid Agung, Meureudu berhampiran kawasan itu.

“Kita tidak sangka kehadiran BKUM disambut dengan tangan terbuka oleh penduduk kampung yang sememangnya 'dahagakan' bantuan perubatan kerana majoritinya masih trauma dengan kejadian gempa bumi baru-baru ini. Bagaimanapun, kami berjaya memberi keyakinan kepada mereka supaya melupakan kejadian yang sebelum ini menghantui mereka.

Kebanyakan penduduk yang mengalami penyakit terputus bekalan ubat disebabkan kejadian ini selain kekurangan doktor untuk merawat ramai pesakit yang memerlukan rawatan selepas ditimpa kemalangan akibat gempa bumi ini.

"Pihak kami tidak bercadang menyambung misi ini kerana kerajaan Indonesia akan menutup semua misi bantuan dari luar pada 20 Disember ini bagi kerja-kerja pembangunan di kawasan yang ditimpa gempa," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Nurul Ainin Mastura Fisal, 20, pula menzahirkan rasa gembira kerana diberi peluang untuk bersama-sama membantu mangsa gempa bumi di kawasan tersebut.

"Selain daripada memberikan bantuan perubatan, tujuan kami juga untuk menceriakan kembali penduduk setempat, khususnya kanak-kanak yang trauma fizikal serta emosi. Pelbagai program kami aturkan supaya mereka dapat melupakan kedukaan yang menimpa," ujarnya.


Misi bantuan BKUM itu bermula pada 14 Disember lalu, tertumpu ke kawasan Pidie Jaya yang terjejas teruk akibat gempa bumi 7 Disember lalu yang berukuran 6.4 pada skala Richter dan mengorbankan 102 nyawa.














Tags: , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment