Kembara Kerjaya Johor Berkemahiran 4.0 Tawar Lebih 5,000 Peluang Pekerjaan



Lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan di negeri ini menerusi Kembara Kerjaya Johor Berkemahiran 4.0, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R. Vidyananthan berkata program kali ini yang merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan, perhotelan, perabot, hartanah serta digital amat istimewa kerana mendapat penyertaan terbanyak melibatkan 41 agensi.

"Tahun ini, kembara ini akan menuju ke lima lokasi terpilih, Sekolah Menengah Kebangsaan Kahang di Kluang, diikuti Dewan Jubli Intan di Batu Pahat, Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah di Muar dan Dataran Segamat sebelum berakhir di Kilang Bateri, Tampoi, Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelepasan Kembara Kerjaya Berkemahiran 4.0 yang disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.

Vidyananthan berkata program Kembara Kerjaya Johor dimulakan sejak 2014 dan selepas tiga tahun berturut-turut penganjurannya, ia berjaya mengumpulkan 49,642 pengunjung di 14 lokasi.

Beliau berkata penganjuran kali pertama telah memberi impak dengan jumlah kehadiran pengunjung 17,745 orang dan pihaknya menjangkakan terdapat peningkatan pengunjung, kali ini.

Vidyananthan berkata program Kembara Kerjaya merupakan inisiatif JobsMalaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Johor.

"Kali ini, konvoi akan melibatkan 21 motosikal berkuasa tinggi, 10 kereta, 20 kenderaan utiliti sukan (SUV), lapan kenderaan pelbagai guna (MPV), sembilan van dan sebuah trak tentera," katanya.

Katanya jawatan ditawarkan adalah daripada pekerja am sehingga pengurus dengan 60 peratus merupakan jawatan teknikal seperti jurutera, juruteknik, jurukimpal dan jurumesin, manakala bukan teknikal melibatkan pegawai, kerani serta eksekutif daripada peringkat kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sehingga ijazah.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata program itu salah satu kaedah kerajaan negeri mempromosi kerja-kerja dalam bidang kemahiran supaya rakyat negeri ini mendapat faedah langsung hasil pertumbuhan ekonomi negeri.

"Ini cara kerajaan negeri turun padang supaya rakyat tahu di mana hendak mencari pekerjaan selain kita memberi galakan kepada masyarakat untuk menceburi bidang kemahiran.

"Semua pelaburan yang masuk ke Johor akan memberi peluang kepada rakyat, namun akan menjadi kerugian kalau peluang ini tidak diambil. Ia juga menjadi kerugian kepada pelabur dan syarikat sekiranya tiada rakyat kita yang mengisi kekosongan pekerjaan ini," katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment