Hisham sedih tindakan Mukhriz- Ke mana Mukhriz selepas ini?

Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein kesal, kecewa terhadap tindakan Dato’ Mukhriz Mahathir yang meletakkan prasyarat keahliannya dan tempoh sehingga Julai ini untuk Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan juga Pengerusi BN. Kesetiaan kepada parti tidak boleh dijual beli, tak boleh dipersenda, tidak boleh dipermain-mainkan oleh mana-mana ahli sehingga dijadikan sebagai tebusan. Apabila beliau meletakkan prasyarat itu, itu menyentuh perkara prinsip dan dasar yang tidak boleh diterima. Saya kecewa kerana kami di peringkat akar umbi bertungkus-lumus hendak bergerak ke depan.

Cuba bayangkan perasaan ahli-ahli di akar umbi sana, mereka yang bertungkus lumus setia mempertahankan parti. Apa lagi Dato’ Mukhriz hendak menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Tergamak beliau meletakkan syarat keahliannya, malah menetapkan tempoh masa untuk PM meletakkan jawatan. Itu adalah perkara lain daripada apa yang beliau pernah luahkan di dalam surat peribadinya dulu. Segelintir pihak dan pemimpin juga pernah keluar daripada parti, tetapi tidaklah sampai meletakkan syarat sedemikian.

Ini adalah isu parti, perkara asas untuk berjuang di dalam parti. Keikhlasan, kejujuran tidak untuk dijual beli. Proses peralihan kuasa tidak akan berjalan lancar kalau ada desakan dan ugutan. Ramai yang sudah bosan mendengar pelbagai pihak memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, kini ramai juga yang sudah muak mendengar desakan dan tekanan meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Saya percaya rakyat mahu melihat ke depan, melihat kita memenuhi dan menunaikan janji pilihan raya dulu, rakyat mahu melihat kita melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli. Kalau hari-hari mengugut dan mendesak berulang-ulang, orang ramai akan kecewa. Ini tidak menggambarkan diri sebagai pemimpin yang menawarkan diri untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO.

Semua pemimpin akan diuji, dan mereka kena melalui susah senang, bagaimanakah mereka akan melalui dan berjaya melepasi ujian itu akan dinilai pula oleh rakyat.

Tindakan disiplin

Ditanya mengenai tindakan disiplin, Dato’ Seri Hisham berkata itu bergantung kepada apakah tindakan yang mereka maksudkan. Bukanlah perkara baru mendengar pihak yang menggesa PM meletakkan jawatan. Bagaimanapun Pemuda tiada kuasa mengenakan tindakan disiplin, Pemuda hanya boleh mengemukakan perkara ini kepada Jawatankuasa Pengurusan tertinggi UMNO.

Kes kali ini berbeza daripada dulu, dulu Dato’ Mukhriz mengemukan surat peribadi kepada Perdana Menteri, kali ini beliau secara terbuka membuat kenyataan dan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Mengenai kehadiran tiga EXCO Pemuda bersama Dato’ Mukhriz pada sidang media itu, Dato’ Seri Hisham berkata, mereka juga akan dinilai oleh Perwakilan UMNO kelak apabila bertanding pada Disember ini.

Ditanya mengenai kemungkinan Dato’ Mukhriz hendak berjumpa Dato’ Seri Hisham, berkata beliau sedia berjumpa pada bila-bila masa. Sebelum ini pun memang Dato’ Seri Hisham berjumpa sebaik Tun Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO, Ahad lalu. Kami memang sudah bersetuju untuk Pemuda bergerak di dalam satu pasukan.

Saya tidak tahu sama ada Dato’ Mukhirz faham atau sengaja tidak mahu faham semangat esprit de corp ini. Dulu dia sudah berjanji dan berbincang dengan semua Exco Pemuda mengenai hal ini dan kini beliau bercanggah dengan prinsip dan janji kita untuk melalui apa juga keadaan susah dan senang bersama.

Perjuangan di dalam UMNO , perjuangan politik ini bukan bersenang-senang 24 jam, mereka yang ikhlas dan jujur akan tetap bersama melaluinya demi kepnting ramai. Prinsip perjuangan dan kesetiaan kepada parti tidak boleh dijual beli, tidak boleh dipertaruhkan dan tidak bioleh dipandang mudah. Saya menyeru semua Pemuda UMNO, semua ahli untuk terus melihat ke depan. Kekuatan UMNO adalah berdasarkan kesepakatan kita, bukan bergantung kepada kekuatan individu.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. Kita wajar asingkan apa orang politik tegar kata dan apa rakyat biasa kata.

    Orang politik tegar adalah mereka yang sering terbelenggu dengan kuasa, pengaruh dan wang.

    Manakala rakyat biasa ialah mereka yang tidak serik-serik turun ke pusat mengundi sambil menongkah arus kehidupan baik susah atau senang disamping itu memerhati kepimpinan negara dan membina persepsi dalam minda.

    Persepsi rakyat bahawa kepimpinan Abdullah adalah lemah bukan dongeng lagi. Rakyat biasa melihat dengan sinis bila pembangkang tidak mengusik Abdullah sebaliknya menghentam Najib dan Mahathir. Pembangkang selalunya cergas dan kuat dengan kepimpinan yang lemah. Pembangkang mununggu detik untuk tikaman terakhir. Rakyat biasa dapat menangkap bahawa orang politik tegar keliru antara kesetiaan dengan kewarasan.

    Dengan persepsi demikianlah ramai orang turun mengundi.

    Rakyat biasa dapat membaca bahawa BN dibawah Abdullah tidak diurus dengan cermat. Semangat dan pakatan jadi bercelaru dengan kebebasan menghentam rakan-rakan. BN bukan jadi pakatan lagi.

    Boleh tanya Samy dan Shahrir bila-bila masa. Ada juga yang berpendapat bahawa isu hindraf adalah pelengkap sahaja, manakala sengketa dalam BN adalah pemula.

    Ramai yang terjerat dengan sindrom terbuka dan bebas hingga lupa bahawa negara, BN dan UMNO perlu diurus dengan cermat dan hati-hati. Buat masa ini ramai yang sangsi dengan kepimpinan Abdullah yang sangat-sangat membimbangkan. Kalau sekecil isu tok ketampi dalam lokap boleh terlondeh seluar pemimpin, apatah lagi isu besar yang menghimpit negara dan rakyat.

    Menuntut Abdullah berundur bukan sesuatu yang menjijikkan. Permainan kuasa sering membuat orang jadi buta. Kelemahan Abdullah bukan perkara yang boleh dibaiki lagi.

Post a Comment