Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan
pemimpin dan ahli UMNO serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain
supaya tidak menganggap kekerapan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak dan
timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang sebagai membawa mesej pilihan
raya semata-mata.
Sebaliknya, katanya, ia memberi mesej kepada semua pemimpin dan
anggota parti komponen BN supaya meningkatkan usaha membela dan berbakti kepada
rakyat akar umbi.
Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,
berkata pemimpin dan anggota BN perlu
sentiasa mendampingi rakyat dan mengatasi masalah mereka dan tidak menunggu
sehingga pilihan raya umum diumumkan.
"Ini merupakan agenda yang amat penting demi kelangsungan
kita selaku parti pemerintah di negara ini," katanya kepada pemberita
selepas menutup Program Jatidiri Dalam Warisan dan Kepimpinan Masyarakat
Progresif, di Semporna, hari ini.
Beliau turut meminta jentera pilihan raya dalam semua parti
komponen BN supaya meningkatkan usaha gerak kerja mereka dan mengelak daripada
mengundang sebarang permasalahan sesama mereka.
0 Komen