Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh
Omar mendakwa beliau mempunyai cukup bukti untuk menunjukkan kerajaan negeri
Selangor pimpinan PKR telah memberikan projek secara rundingan terus dan
bukannya menerusi tender.
Katanya beliau mempunyai senarai kontrak-kontrak berkenaan dan
akan mendedahkannya kepada umum pada waktu yang sesuai.
Noh membuat dakwaan itu sebagai merujuk kepada dakwaan editor
portal “Malaysia Today” Raja Petra Kamaruddin mengenai perkara itu baru-baru
ini.
“Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dokumen
mengenai kontrak tanpa tender yang diluluskan kerajaan negeri Selangor akan
dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri pada 19 Mac.
“Sehubungan itu, saya mahu lihat sama ada dokumen yang dikemukakan
itu adalah sama seperti yang ada pada saya,” katanya selepas merasmikan
mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah dekat Tanjong Karang, semalam.
Raja Petra berkata sekiranya kerajaan negeri menafikan dakwaannya
itu, beliau akan menyiarkan butiran kontrak berkenaan dalam blog beliau atau
membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam perkembangan lain, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri
Asas Tani menyelar Jawatankuasa Pemilih Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan
Selangor (Selcat) kerana tidak dapat membentangkan hasil inkuiri awam ke atas
tiga syarikat milik kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri akan
datang.
Beliau berkata anggota Dewan Undangan Negeri telah tidak diberikan
ruang yang cukup untuk membahaskan banyak isu yang dibangkitkan semasa
pendengaran awam itu.
Selcat telah menjalankan inkuiri ke atas Kumpulan Semesta Sdn Bhd
(KSSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor dan pemegang konsesi
perlombongan pasir; cabang pendidikan Yayasan Selangor dan anak syarikat
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
0 Komen