DAP `Double Standard’ – Sejak Bila DAP Boleh Merenung Keikhlasan Orang?



“Mereka ini seperti tahu merenung hati orang itu ikhlas atau tidak ketika mengumumkan melepaskan jawatan Menteri, jadi saya kira itu sebagai satu anggapan DAP bahawa Datuk Seri Shahrizat tidak ikhlas,” ujar Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengulas dakwaan DAP bahawa Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil tidak ikhlas melepas jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pada 8 April ini.




Tambahnya, dalam masa yang sama pihak pembangkang juga mendesak Datuk Seri Shahrizat untuk meletakkan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO dan Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN).

“Saya teringat kepada kes Anwar Ibrahim. Anwar ini bekas banduan sebenarnya dan dia masuk penjara. Tetapi kenapa isterinya tidak meletakkan jawatan sebagai Presiden PKR? Itu satu perkara yang penting.

Datuk Seri Shahrizat, suaminya baru didakwa semalam. Di mahkamah, ada proses-proses tertentu untuk dia didapati bersalah atau tidak. Jadi mengapa kita nak memaksa Shahrizat meletakkan jawatan sebagai Ketua wanita UMNO mahupun Pengerusi Wanita BN,” ujarnya ketika ditemui di Parlimen pagi tadi.

Ujarnya, kes ini hanya melibatkan kerajaan, bukannya melibatkan parti UMNO dan BN. Shahrizat Ketua Wanita UMNO dan Pengerusi Wanita BN, dia tidak terlibat dengan kementerian yang memberikan tender ini kepada beliau.

“Saya berpandangan pembangkang ini double standard, kalau berlaku pada pemimpin pembankang, boleh belaka tetapi bila terjadi pada kita, tak boleh.

Banyak sebenarnya masalah DAP ini. Antaranya ialah berlaku kepada Ean Yong Hian Wah, EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang cuba dilindungi oleh Setiausaha Politiknya, Teoh Beng Hock dan mungkin orang-orang lain yang terlibat. Kita nak tahu apa yang berlaku tu sebenarnya,” tambahnya yang juga Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN.

Ia bukan sekadar Teoh Beng Hock membunuh diri, oleh kerana Suruhanjaya Di Raja mengatakan Teoh Beng Hock membunuh diri tetapi ia lebih dari itu.

“Mesti ada berlaku perkara yang tertentu, bukan hanya tekanan SPRM kepada Teoh Beng Hock. Mesti ada cerita tertentu, kita nak tahu apa cerita tersebut. Jangan anggap semuanya suci di kalangan pemimpin DAP ini.

Begitu juga dengan tuduhan-tuduhan antara Ramasamy dan Karpal Singh. Seorang kata `warlord’, seorang kata ‘god father’ antara Ramasamy-Karpal Singh, tentu ada perkara-perkara tertentu antara mereka yang kita perlu tahu. Oleh itu, kalau mereka kata ketelusan dan sebagainya, ini adalah antara perkara-perkara yang tidak betul,” tambahnya.

Beliau juga menasihatkan DAP agar jangan hanya menimbulkan cerita-cerita di pihak UMNO, BN dan kerajaan, mereka juga perlu mendedahkan cerita-cerita di pihak mereka juga untuk pengetahuan rakyat keseluruhannya. 
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.