Industri sukan negara semakin berkembang hingga membuka banyak
ruang keusahawanan dan pekerjaan untuk diceburi golongan belia, kata Majlis
Belia Malaysia (MBM).
Presiden MBM Mohamad Maliki Mohamed Rafiee berkata industri itu
meliputi lebih 40 kategori seperti pelancongan, pengangkutan, makanan dan
produk pakaian yang mampu menjana ekonomi negara selain memberi peluang
pekerjaan kepada golongan belia.
"Belia dilihat mampu untuk mencapai tahap tertinggi menerusi
bidang sukan dan industri sukan.
"Cita-cita Majlis Belia Malaysia mahu melihat para belia
memiliki nilai tambah, selain menyokong hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju," katanya
semasa berucap pada majlis perasmian Ekspo Industri Sukan 2012 (MSIE 2012) di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Eskpo tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ekspo tiga hari itu
akan berakhir esok.
Pameran yang julung kali diadakan itu melibatkan lebih 200
organisasi dan antara yang menarik perhatian pengunjung adalah replika watak
komik Transformers, Optimus Prime, setinggi 22 kaki.
Selain itu terdapat juga aktiviti seperti 'Football Freestyle',
Himpunan Selebriti Sukan, 'Battle of the Band', 'paintball', 'wall climbing'
serta persembahan artis.
Mohamad Maliki berkata sambutan orang ramai terhadap ekspo itu
amat menggalakkan setakat ini dan pihaknya bercadang untuk meneruskan program
tersebut pada masa akan datang.
"Ekspo ini berjaya menarik perhatian pelbagai golongan yang
berminat dengan sukan. Ada yang berminat untuk menceburi keusahawanan, ada yang
berminat dengan 'motorsports', 'paintball' , produk pakaian dan
sebagainya," katanya.
0 Komen