Liverpool Atau Chelsea?


Liverpool mengharapkan sinar positif setelah beraksi hambar musim ini, dalam usaha mereka memburu kemenangan domestik berganda pada perlawanan akhir Piala FA menentang musuh ketat, Chelsea, esok.

Kenny Dalglish kembali ke Anfield, tahun lalu dan perbelanjaan besar kelab itu dalam pasaran perpindahan telah menyalakan keyakinan penyokong Liverpool bahawa Reds mampu bangkit kembali dalam bola sepak Inggeris.

Namun, persembahan mengecewakan dan tidak konsisten dalam kempen Liga Perdana menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan tentang Reds di bawah teraju Dalglish, dengan impian Liverpool untuk kembali ke Liga Juara-Juara telah pun musnah.

Fulham muncul pasukan terbaru ‘merompak’ kemenangan Liverpool setelah melakar kemenangan 1-0 di Anfield, satu keputusan yang meletakkan Liverpool melakar rekod terburuk di padang sendiri sejak musim 1948-49.

Namun, sekiranya Liverpool bijak memanfaat kesempatan ke atas keletihan skuad Chelsea di Wembley, Dalglish mampu merangkul trofi kejuaraan kedua selepas pasukannya mengetepikan Cardiff City untuk menjulang Piala Liga, Februari lalu.

Sementara Liga Perdana masih menjadi keutamaan, pengurus Liverpool itu menegaskan, kemenangan berganda piala domestik membuktikan pasukannya telah mula mempamerkan kemajuan yang mantap.

“Sebarang pertandingan anda sertai, anda mahu melakukan yang terbaik. Dalam aksi liga terdapat 38 perlawanan dan apabila tamat anda berada di kedudukan yang menjelaskan sejauh mana anda berjaya melangkah.

“Dalam pertandingan piala domestik, perlawanannya tidak banyak dan jika anda kalah, bermakna anda tersingkir.

“Kita terlalu dihantui dengan Liga Perdana kerana apa yang dicatat dan nilai dari segi kewangan untuk setiap kelab, ganjaran yang anda dapat kerana menamatkan saingan di kedudukan empat teratas serta layak ke Liga Juara-Juara.

“Tetapi, terdapat satu kepuasan memenangi Piala FA, yang mana anda tidak perolehinya daripada kedudukan kelima atau keenam liga,” kata Dalglish.

Perlawanan akhir, esok merupakan pertemuan ke-33 kedua-dua pasukan sejak jutawan Rusia, Roman Abramovich membeli Chelsea pada 2003 dan dari situ bermulalah sejarah kejayaan kelab London itu.

Chelsea bagaimanapun, boleh dimaafkan jika menganggap perlawanan akhir, esok merupakan satu gangguan apabila pengurus sementara, Roberto Di Matteo cuba untuk memanfaatkan sebaik mungkin skuadnya.

Harapan Blues untuk kembali berada di kedudukan keempat musnah, kelmarin selepas tewas 0-2 di tempat sendiri kepada Newcastle United yang menyaksikan anak-anak buah Di Matteo tercicir empat mata daripada kedudukan Liga Juara-Juara dengan dua baki perlawanan.

Kekalahan itu bermakna laluan Chelsea ke final Liga Juara-Juara di Munich pada 19 Mei ini menjadi semakin penting yang mana kemenangan ke atas Bayern Munich bakal melayakkan mereka secara automatik ke pertandingan itu musim depan.

Walaupun keutamaan diberi kepada aksi di Munich nanti, Di Matteo tetap mengintai peluang untuk melakar kejayaan di Wembley, warga Itali itu berkata: “Pemain saya akan memberikan segala-galanya. Kami telah meminta mereka agar teruskan usaha dan nampaknya mereka berjaya melakukannya dengan baik.

“Kami menyusun semula pasukan dan membuat pilihan. Kami bakal berdepan perlawanan penting dan final yang hebat. Kami tidak sabar beraksi pada perlawanan akhir Piala FA. Ia merupakan pertandingan yang hebat dan motivasi kami ialah untuk berada di sana. - AFP
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment