Pas digesa memberi penjelasan berhubung sikap 'double standard'
yang ditunjukkan oleh parti tersebut terhadap isu tarian ala K-Pop pada Majlis
Makan Malam PKR, Bertam Nite di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata,
sikap hipokrit kepimpinan parti Islam itu, yang hanya mengkritik persembahan
K-Pop pada Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya tempoh hari mencerminkan ia tidak
konsisten memperjuangkan agama tersebut.
“Sikap pilih kasih Pas yang tidak menegur sekutunya, PKR dalam
mengadakan konsert seksi pada majlis makan malam itu menunjukkan parti tersebut
hipokrit dalam perjuangan Islamnya.
“Ini bukan kali pertama Pas begini, sebelum ini pun parti itu
telah mengeluarkan pelbagai peraturan dan ‘fatwa’ yang berubah-ubah.
"Ini termasuk menyatakan bahawa suara adalah aurat bagi
wanita dan mereka enggan menghantar qariah mereka pada mana-mana tilawah
sebelum ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen di sini,
pagi tadi.
Namun, kata beliau, kini mereka meletakkan lebih banyak calon
wanita untuk bertanding pada pilihan raya dan terbaru, menggunakan penyanyi
terkenal untuk menyanyi pada majlis-majlis mereka.
Jelas Shabery, sikap 'double standard' dalam itu berkenaan perlu
diperjelaskan oleh kepimpinan Pas kerana ia telah menimbulkan jutaan persoalan
dalam kalangan rakyat yang meluahkan isi hati mereka dalam media sosial
masing-masing.
Tegasnya, sikap berdiam diri beberapa pemimpin Pas yang hadir pada
Bertam Nite itu turut menunjukkan parti itu hanya mempergunakan isu pada
Himpunan Jutaan Belia demi kepentingan politik mereka semata-mata, bukannya
untuk menegakkan perjuangan Islam mereka.
“Sekiranya mereka benar memperjuangkan apa yang mereka
katakan sebelum ini, mereka perlu tampil
dan meminta maaf kerana sikap berdiam diri mereka mengelirukan umat Islam lain. Saya pun meminta maaf
sebelum ini,” katanya.
Katanya, sungguh jelas pakaian penyanyi yang dipanggil membuat
persembahan malam itu lebih seksi berbanding persembahan artis Korea pada
Himpunan Sejuta Belia itu.
PKR menyediakan persembahan istimewa untuk ahli dan tetamunya pada
majlis makan malam parti itu di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai.
Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk
Mansor Othman itu mempersembahkan tarian tiga gadis yang memakai skirt pendek.
Pertunjukan tarian seksi ala K-Pop itu mengejutkan kerana ia turut
dihadiri beberapa pemimpin Pas tempatan dan ahlinya.
0 Komen