Rakyat tumpang gembira serta mengucapkan
selamat ulangtahun kelahiran ke 59 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak yang jatuh pada 23 Julai yang lalu.
Lebih daripada itu rakyat berasa bertuah
mempunyai seorang pemimpin bervisi seperti Datuk Seri Najib yang bakal membawa
negara ke tahap pembangunan yang jauh lebih maju dan progresif dalam
tahun-tahun mendatang.
Rancangan beliau untuk memantapkan lagi
pentadbiran negara melonjakkan pembangunan negara sediada serta meningkatkan
taraf sosio-ekonomi rakyat semuanya terkandung kemas dalam Program Transformasi
Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Melalui kedua-dua program mega itu, terserlah
kualiti pada diri Perdana Menteri bahawa beliau bukan sahaja seorang pemimpin
yang mempunyai pengalaman lama dalam pentadbiran kerajaan selama 36 tahun malah
arif bagaimana melakar perjalanan ekonomi negara untuk menghadapi cabaran abad
ke 21.
Malangnya segala impian rakyat yang ingin
dibawa dan direalisasi oleh Perdana Menteri bakal hancur sekiranya pembangkang
yakni Pakatan Rakyat dibenarkan memegang tampuk kuasa di Putrajaya.
Pada masa kini, pembangkang sedang sibuk
dengan agenda politik mereka untuk meruntuhkan perancangan pembangunan yang
telah di susun oleh Datuk Seri Najib untuk rakyat.
Mereka menyerang pentadbiran kerajaan dengan
pelbagai cara terutamanya melalui pendekatan media yang dibantu oleh rangkaian
media Barat.
Mereka mencipta dan mengada-adakan
bermacam-macam fitnah dan tohmahan untuk melemah serta menghakis keyakinan
rakyat terhadap kerajaan.
Ada sahaja isu yang boleh pembangkang
memanipulasi, mereka akan membesar-besarkan dan menjadikan isu itu sebagai satu
senjata menghentam kerajaan.
Bagi pembangkang kebenaran hanya ada pada
pihak mereka.
Walaupun kerajaan berulang kali memberi
penjelasan secara terperinci mengenai sesuatu isu yang ditimbulkan samada di
dalam atau luar Parlimen, itu tidak menjadi penting kerana pembangkang yang
menentukan samada ianya benar atau salah.
Tujuan semua tindakan pembangkang ini ialah
supaya rakyat tidak akan merasa kesan positif dan perubahan positif kepada
kehidupan mereka hasil program serta dasar yang telahpun terlaksana setakat
ini.
Pembangkang tidak mahu rakyat berfikir
bagaimana mereka menikmati perkhidmatan kesihatan dan perubatan paling rendah
di dunia di Klinik 1Malaysia dengan hanya yuran serendah RM1.
Perdana Menteri tidak mahu membebankan rakyat
dengan perkhidmatan kesihatan yang
tinggi terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah, sebab itu kerajaan
sanggup mengenakan caj lebih rendah daripada harga segelas teh tarik!
Pembangkang juga mahu mengalih perhatian
rakyat kepada langkah kerajaan memperkenalkan Kedai 1Malaysia yang menjual
banyak produk barangan buatan tempatan dengan harga yang lebih rendah daripada
pasaraya seperti Tesco, Giant atau Carrefour.
DAP sebelum ini cuba menggagalkan usaha
kerajaan ini dengan memburuk-buruk kualiti produk yang dijual tetapi rakyat
lebih bijak berfikir bahawa itu adalah propaganda murahan pembangkang.
Kini laporan media menyatakan seringkali
Kedai 1Malaysia kehabisan stok kerana sambutan rakyat yang amat menggalakkan.
Bagi lebih 70,000 golongan pemandu teksi yang
selama ini memberi khidmat kepada rakyat, kerajaan tidak melupakan pengorbanan
mereka dengan memberi tayar percuma melalui skim Tayar 1Malaysia, malah
kerajaan juga sedang menimbang skim caruman Perkeso dan KWSP bagi mereka.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebelum ini
telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan kumpulan pemandu teksi kononnya
untuk menunjukkan prihatin beliau kepada nasib mereka tetapi apa yang mampu
ditawarkan beliau hanyalah air liur dan janji kosong.
Pembangkang juga mahu mengalih pandangan
rakyat daripada langkah kerajaan mengurangkan bebanan kehidupan mereka dengan
memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 kepada setiap isi rumah.
Ramai penyokong Pakatan Rakyat berjaya
menikmati BR1M tetapi dalam usaha membantu rakyat kerajaan tidak pernah
mendiskriminasi atau menindas mana-mana golongan atas alasan berlainan ideologi
politik.
Inilah bukti kerajaan Barisan Nasional adalah
sebuah kerajaan yang adil yang membela semua lapisan rakyat tidak kira bangsa,
agama, warna kulit mahupun fahaman politik.
Anwar dan pemimpin pembangkang yang lain akan
terus mengadakan ceramah setiap malam untuk menipu rakyat.
Contohnya, PAS telah memerintah Kelantan
selama 22 tahun sejak pilihan raya umum 1990, tetapi masih menjadikan ceramah
umum sebagai aktiviti utamanya meskipun sudah menubuhkan kerajaan negeri.
Pembangunan negeri dan rakyat sepatutnya
menjadi agenda teras pemerintahan di negeri Serambi Mekah itu tetapi PAS
memilih menjadikan pentas ceramah sebagai alat propaganda untuk mengawal minda
rakyat Kelantan supaya terus mengundi golongan jumud itu.
Tanpa ceramah politik setiap malam, nescaya
pengaruh PAS akan jauh berkurangan dan negeri itu akan jatuh kembali ke tangan
BN.
Apa pun fitnah pembangkang, Perdana Menteri
tetap beristiqomah di atas landasan untuk mendahulukan rakyat dalam
pentadbirannya.
Berkat kesabaran Datuk Seri Najib menanggung
badai fitnah pembangkang, mutu kehidupan rakyat sudahpun menampakkan perbezaan
positif yang ketara.
Bak kata pepatah biarlah luncai terjun dengan
labunya; biarlah Anwar dan pembangkang lemas dalam dunia fantasi mereka yang
tidak berkesudahan. - BB
0 Komen