Bukan satu rahsia lagi, kedudukan Haji Abdul Hadi Awang selaku
Presiden PAS sejak akhir-akhir ini kelihatan semakin goyah dan kurang mendapat
penghormatan sewajarnya dari kalangan penyokong dan ahli PAS sendiri.
Dalam banyak perkara melibatkan perjalanan parti, seringkali Hadi
dipaksa mengikut lenggok tari Mursyidul Am PAS sebelum menentukan keputusan
untuk sesuatu perkara berbangkit - sesuatu yang jarang berlaku semasa PAS
dibawah pimpinan Allahyarham Fadhil Noor mahupun Presiden sebelumnya.
Walaupun struktur organisasi PAS meletakkan kedudukan Mursyidul Am
lebih tinggi berbanding Presiden, namun bukannya satu kelaziman bagi PAS
meletakkan taraf Presidennya hanya sekadar pak turut kepada Mursyidul Am
semata-mata.
Keadaan ini dilihat kian menonjol terutama semenjak kebangkitan
puak Anwarinas ataupun dikenali juga dengan gelaran Erdogan yang mula
menggandakan penentangan secara besar-besaran terhadap konsep Kerajaan
Perpaduan (UG) yang diilhamkan oleh Hadi Awang.
Rentetan dari situ, satu demi satu pemimpin PAS yang pro kepada
konsep UG serta mempunyai hubungan rapat dengan Hadi Awang tersingkir atau
terpinggir dari arus PAS Pusat dan negeri. Sekaligus menyebabkan cengkaman
pengaruh Hadi terhadap PAS kian longgar dan imejnya pula kian tercalar.
Manakala imej Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS pula diangkat
setinggi-tingginya sehinggakan urusan parti yang biasa dilaksanakan oleh
Presiden kini seringkali diambil alih oleh Nik Aziz.
Malah bila Hadi membuat kenyataan tertentu atau tindak tanduknya
dilihat tidak mengikut kehendak kumpulan Anwarinas dalam PAS, tidak semena-mena
Nik Aziz akan segera memotong dengan membuat kenyataan sebaliknya sehingga
memaksa Hadi menarik handbrake dan mengubah semula kenyataan asal.
Contohnya dalam isu muzakarah dan kerajaan perpaduan, Hadi yang
membuat tawaran dan mencetuskan idea namun bila ramai geng Anwarinas tampil
membantahnya maka Nik Azizlah yang akan jadi perisai depan untuk memastikan
bantahan puak Anwarinas tercapai.
Impak kemudiannya, Hadi terpaksa menanggung malu dan terpaksa
bersilat lidah untuk menenangkan penyokong PAS yang semakin ramai berpayung di
belakang kumpulan Anwarinas yang disokong oleh Nik Aziz.
Dalam konteks lain pula, kebiasaannya Presiden parti adalah
penghubung utama sekiranya membabitkan pertemuan politik dengan pemimpin dari
parti rakan sepakatan mahupun pemimpin parti di luar pakatan.
Namun disebabkan wujudnya usaha berterusan untuk menenggelamkan
pengaruh Hadi, acapkali kumpulan Anwarinas akan segera mengaturkan sesuatu
pertemuan politik itu dengan melibatkan Nik Aziz tanpa membabitkan Hadi.
Demikianlah yang berlaku baru-baru ini apabila bekas pemimpin UMNO
Sabah, Lajim Ukim tiba-tiba diuruskan kedatangannya ke Kelantan untuk bertemu
Nik Aziz sedangkan sedari awal sepatutnya pertemuan tersebut hanya melibatkan
perbincangan soal taktikal politik antara Lajim dengan Hadi Awang.
Sudahlah begitu, isi utama perjumpaan tersebut pula hanya sekadar
untuk menyampaikan hasrat Lajim mahu menyertai PKR disamping meminta restu Nik
Aziz.
Entah sejak bila Nik Aziz jadi pemimpin PKR agaknya sehingga
restunya diperlukan sebelum dapat menjadi ahli PKR? Kelihatan seperti mahu
memperlihatkan PAS lebih kuat berbanding PKR, namun hakikatnya itu hanyalah
sebahagian usaha kumpulan Anwarinas untuk mengkelabu asapkan imej Hadi di mata
ahli dan penyokong PAS.
Di kalangan ramai pemimpin PAS yang berada di kem Hadi dan juga
beberapa orang yang tiada kem, walaupun kerap terganggu dengan penonjolan
berlebihan Nik Aziz seolah-olah diktator PAS, namun mereka seakan hilang
kekuatan untuk mempertikaikannya secara lebih terbuka dan terpaksa redha selagi
geng Anwarinas masih menguasai PAS.
Paling mereka bimbangi dalam beberapa jangka masa terdekat atau
paling lambat selepas PRU 13, Hadi awang akan terus terpinggir dari arena
kepimpinan PAS dan tempatnya bakal menjadi miliki salah seorang pemimpin bukan
aliran agama yang pro Anwar Ibrahim.
Tanda-tanda ke arah itu sudah banyak kelihatan. Menjelang PRU 13,
PAS bukan sahaja akan berentap dengan UMNO di masa yang sama pertempuran antara
kem dalam PAS akan lebih menonjol terutama sekali melibatkan perebutan untuk
calon yang akan bertanding.
Lebih ramai pemimpin pro Anwar berjaya menempatkan diri sebagai
calon pilihanraya bermakna berakhirnya zaman kepimpinan Hadi dan akan
meninggalkan tampuk kepimpinan PAS dalam keadaan malu dan terhina sama seperti
pernah dialami oleh arwah Asri Muda. - BB
8:09 AM
dengan berkat doa nik aziz yang memohon agar Allah menghancurleburkan kebatilan, semoga pas hancur lebur dimusnahkan oleh puak penyokong kebatilan yang ada di dalam pas, amin.