Kerajaan negeri Selangor banyak mengambil kredit hasil pencapaian
cemerlang kerajaan BN sejak mereka memerintah Selangor sejak empat tahun lalu
tapi hakikatnya, penambahbaikan dan membangunkan negeri Selangor ini dilakukan
oleh kerajaan persekutuan.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan mengambil contoh di Parlimen
Hulu Selangor, semenjak mereka memerintah tidak nampak satu projek, kemudahan
infrastruktur untuk kemudahan awam yang dibangunkan oleh kerajaan negeri
Selangor ini.
“Malah saya jumpa dengan salah seorang ADUN dari Pakatan Rakyat
dan bertanyakan apakah pencapaian kerajaan negeri Selangor. Dia kata banyak dan
antara dua yang terhebat bagi mereka ialah mereka beri air percuma kepada semua
rakyat negeri Selangor. Itu satu penipuan yang lebih teruk dari peristiwa 16
September sedangkan kita tahu, ramai penduduk-penduduk di flat masih membayar
bil melalui meter pukal.
“Mereka tidak menerima air percuma. Jadi, jangan menipu. Keduanya
mereka kata simpanan wang tunai mereka bertambah kepada billion. Bagaimana
tidak bertambah, dia dapat bantuan dari kerajaan persekutuan, dia simpan..
sepatutnya dia belanjakan untuk membela rakyat dengan membina kemudahan
rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini.
Tambahnya, pada tahun 2011, kerajaan Persekutuan telah memberikan
bantuan berjumlah RM600 juta untuk pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
“Jadi ke mana perginya duit ini. Saya tidak nampak duit yang
diberikan oleh kerajaan BN ini untuk membantu rakyat, untuk kerajaan negeri
membetulkan semua kemudahan-kemudahan awam, menjaga jalanraya, menjaga tiang
lampu tetapi saya tidak nampak duit ini diguna pakai.
“Di kawasan ini, longkang-longkang di sini tidak dibersihkan,
rumput tidak dipotong, inikah cara untuk membantu rakyat sedangkan harta-harta
kerajaan negeri dijual, bila harta dijual duit dapat daripada kerajaan persekutuan
tetapi tidak digunakan untuk rakyat, jadi siapa tidak ada duit. Oleh yang
demikian, janganlah mendabik dada mengatakan yang mereka telah banyak membawa
perubahan kepada negeri Selangor,” tambahnya lagi.
Dalam empat tahun ini, tidak ada pun perubahan yang dibuat
sebaliknya kerajaan BN walaupun negeri ini bukan ditadbir oleh BN tetapi kita
membantu. Contohnya di Hulu Selangor, kita telah membina persimpangan susur
keluar Sungai Buaya.
“Di Hulu Bernam kita membina 300 buah rumah untuk rakyat termiskin,
ini rumah yang dibuat kerajaan BN. Mana pergi rumah-rumah yang dibuat kerajaan
pembangkang? Baru tahun lalu MB kata dia nak buat 11,000 buah rumah, sebelum
ini mengapa tak buat?
“Mereka menipu rakyat. Inilah dia kerajaan yang tidak ada prihatin
langsung untuk memastikan rakyat ini dijaga dengan baik. Jangan terpedaya lagi
dengan janji-janji mereka, mereka tidak akan melaksanakan janji-janji kerana
mereka hanya mementingkan diri mereka untuk mendapat kuasa,” tambahnya lagi.
0 Komen