KOTA BHARU : Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong
DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta
pelaksanaan hukum hudud.
Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, umat
Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin
pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa
kemenangan kepada DAP.
Beliau berkata, agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC
dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu
tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umat Islam.
"Perjuangan DAP tidak terima Perlembagaan negara, mereka mahu
sama rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata. Wajib
orang Islam dalam Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak DAP yang
mencari jalan hendak menguasai negara melalui undi pada pilihan raya.
"Parti-parti yang bekerjasama dengan DAP juga berdosa disokong
kerana sokongan kepada mereka bermakna kita juga menyokong DAP sebab mereka
satu pakatan," katanya kepada Utusan Malaysia disini hari ini.Beliau
mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa),
Datuk Ibrahim Ali yang mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai
tindakan ahli PAS mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum ke 13. Menurut Ibrahim,
persoalan itu perlu dijawab Pas kerana
adalah jelas pengerusi DAP, Karpal Singh dan keseluruhan pemimpin parti
tersebut ketika ini menentang keras penubuhan sebuah negara Islam dan
perlaksanaan hukum hudud.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, DAP berbeza dengan MCA dan MIC
yang menjalin kerjasama dengan UMNO dalam BN kerana parti tersebut tidak
bermusuhan dengan Islam malah sedia menerima pemerintahan Islam.
"Sebaliknya, DAP tidak mahu, mereka mahu hak samarata, tidak
mahu tinggi rendah, tidak Mahu Islam tinggi, sifat harbi mereka sangat jelas
iaitu menentang hukum hudud dan penubuhan negara Islam.
"Saya menyeru orang melayu dan umat Islam supaya pada pilihan
raya umum akan datang jangan sokong Pas yang masih tidak mahu keluar daripada
pakatan pembangkang, sokong Umno dan BN supaya orang melayu dan syiar Islam
terus dimartabatkan," katanya.
*Petikan dari Utusan Malaysia 8/8/12
0 Komen