Ketika Pakatan Rakyat (PR) menjerit-jerit fobia dengan tema ‘55
Tahun Janji DiTepati’ yang diumumkan kerajaan pusat kerana tepat terkena ke
batang hidung mereka, kerajaan PR Kedah telah pun melancarkan temanya sendiri
iaitu ‘55 Tahun Terus Berbakti’ seawal 17 Julai lagi.
Namun, tindakan kerajaan Kedah itu seolah-olah tidak ‘diiktiraf’
oleh kepimpinan PR Pusat kerana mereka langsung tidak memperdulikannya. Malah, kepimpinan PR Pusat telah melancarkan
tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ sebagai tema rasmi Hari Kebangsaan di negeri
Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
Ini bermakna, Kedah telah ‘tercicir’ dan akan bersendirian menggunakan
tema berbeza dari PR dan juga pusat.
Nampaknya, untuk bersatu hati dalam mencari tema Hari Kebangsaan
juga amat payah sekali bagi Pakatan Rakyat.
Jika begitu sukar sekali untuk mereka menyeragamkan hanya 4 buah negeri,
bagaimana PR boleh bermimpi mampu menyamaratakan segala-galanya bagi seluruh
Malaysia jika mereka berjaya memerintah?
Inilah akibatnya jika ketiga-tiga parti merasakan parti
masing-masing sebagai kepala dan tulang belakang PR dan tiada siapa hormatkan
sesiapa di antara sesama mereka sebagai pemimpin tertinggi.
Namun, kita faham jika kepimpinan PR memekakkan telinga sahaja
dengan tema yang dilancarkan oleh negeri Kedah iaitu kerana pemilihan perkataan
‘berbakti’. Sedangkan, perkataan-perkataan
yang membawa makna ‘berkhidmat kepada rakyat’ amatlah menakutkan PR.
Dari satu segi, perkataan ‘berbakti’ tidak banyak beza dengan
‘janji ditepati’ mengikut makna umum dan
di dalam konteks Malaysia. Apatah lagi
jika perkataan tersebut digandingkan dengan angka ‘55 tahun’.
Ini kerana bukan PR tidak tahu bahawa yang berbakti kepada rakyat
Kedah dan keseluruhannya selama 55 tahun adalah BN atau Parti Perikatan dan
bukan PAS, DAP, PKR jauh sekali Pakatan Rakyat.
PAS atau PR baru sahaja memerintah Kedah selama tidak sampai
sepenggal dan selama itu juga langsung tiada bakti yang dicurahkan. Sebaliknya, hanya menambahkan masalah kepada
rakyat selain dari menambah pusat-pusat hiburan dan karaoke.
Oleh itu, tema ’55 tahun terus berbakti’ seolah-olah mengingatkan
rakyat kepada jasa-jasa Barisan Nasional dan UMNO kepada mereka, lebih-lebih
lagi dalam memperjuangkan kemerdekaan.
Pelik juga kita kenapa PAS Kedah telah memilih tema yang juga terkena batang
hidung mereka sendiri?
Apapun, dengan kegagalan PR untuk bersatu hati dalam memilih tema
untuk digunakan di negeri-negeri jajahan mereka membuktikan betapa rapuhnya
pakatan mereka. Masalah ini juga
berlaku kerana PR tidak pernah mempromosi patriotisme, maka memilih tema untuk
Hari Kebangsaan serta menjiwainya tentulah sesuatu yang sukar bagi mereka. Apatah lagi dengan terdapatnya segolongan di
dalam PR yang enggan menerima sejarah serta ingin mengubah sejarah mengenai
kemerdekaan semata-mata kerana ingin ‘membersihkan’ nama nenek moyang
mereka.
Selama ini juga kita melihat pemimpin-pemimpin PR ke hulu ke hilir
ke serata dunia tidak puas-puas memburuk-burukkan Malaysia. Mereka menggambarkan Malaysia sebagai neraka
dunia seolah-olah segala-gala tentang Malaysia adalah buruk lagi busuk.
Sesungguhnya, PR tidak pernah cintakan negara ini dan tidak pernah
mensyukuri nikmat keamanan, kemakmuran, kesejahteraan mahupun keindahan negara
ini. Justeru, PR mungkin boleh mencipta
slogan dan tema tetapi ia tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.
PR juga saban hari mempromosi perpecahan dan bukannya
perpaduan. PR menentang perpaduan sesama
ummah dan di antara kaum kerana perpaduan di kalangan rakyat bermakna kekuatan
bagi kerajaan yang memerintah.
Sedangkan matlamat mereka adalah untuk melemahkan kerajaan.
Oleh itu, untuk PR memilih tema ‘sebangsa, senegara, sejiwa’
adalah satu hipokrasi yang paling besar apatah lagi di kala DAP sendiri tegar
menentang ‘satu sekolah’ untuk anak-anak Malaysia.
Hakikatnya, bukan sahaja PR itu adalah agen perpecahan tetapi PR
sendiri tidak mampu menjadi satu parti.
Sehingga ke hari ini iaitu
setelah hampir sepenggal memerintah di 4 negeri, PR kekal menjadi tiga
parti dengan tiga ideologi, tiga matlamat dan tiga prinsip yang berbeza, hatta
bertentangan juga. Kerana itu, PR tidak
mampu bersatu walaupun dalam mencipta tema Hari Kebangsaan.
Bagaimana agaknya nasib rakyat sekiranya parti yang tidak
patriotik, tidak bersatu serta menentang perpaduan di kalangan rakyat diberi
mandat memerintah Malaysia?
0 Komen