Perjuangan Perlu Ikhlas Dan Setia Demi Kelangsungan Perjuangan Hidup Anak Cucu Kita - Rosnah



Ahli-Ahli UMNO khususnya ahli Puteri di segenap lapisan harus menjiwai semangat seorang pejuang, faham malah menjiwai setiap garis perjuangan yang telah dan akan kita lalui. UMNO sebagai sebuah pertubuhan berjuang untuk bangsa Melayu, berjuang untuk kelangsungan hidup anak cucunya di bumi dan tanah tumpah darah sendiri.


Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin berkata, Dalam perjuangan ini, menang atau kalah, bukan pada tangan kita. Bukan dalam kawalan kita, bukan dengan dan atas ketentuan kita. Namun, berjuang dengan keikhlasan itu sesuatu yang harus kita pegang bersama.

“Saya tak nafikan, keikhlasan adalah terlalu halus untuk kita pandang, terlalu mendalam untuk kita selam, namun tidak mustahil untuk kita laksanakan, untuk kita impikan.  Dalam berjuang, jiwa dan hati yang ikhlas sahaja boleh berjaya kerana rakyat mahukan kerja-kerja ikhlas pemimpin. Bekerjalah dengan seikhlasnya, kerana Tuhan pasti bersama perjuangan kita.

Dalam sedar atau tidak, Pergerakan Puteri UMNO telah menjangkau usia 11 tahun. Sejak dari awal penubuhan hinggalah sekarang, pelbagai pengalaman pahit, manis, suka, duka telah kita timba bersama-sama. Dari era YB Datuk Seri Azalina Othman dimana Puteri baru hendak bertatih dan mencari tempat yang “significant” dikalangan kekanda-kekanda UMNO hingga ke era YB Datuk Noraini Ahmad yang meneruskan usaha merapatkan Puteri dan golongan muda dengan program seperti Menyusur Akar yang masih kita laksanakan hingga hari ini.

Rumah yang cantik dan indah telah pun terbina. Namun, perjuangan, peranan, dan pengorbanan Puteri masih tetap diperlukan. Cabaran telah pun dilontarkan kepada bangsa Melayu, lebih-lebih lagi generasi muda, untuk menyiapkan diri bagi menghadapi era globalisasi di mana tiada sesiapapun akan menyuakan kita sebarang tongkat sebagai bantuan,” ujarnya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Selayang di sini, hari ini.

Beliau turut mengajak ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO untuk menyambut lontaran  dan cabaran ini kerana sebagai wakil generasi wanita Muda di dalam UMNO, Puteri wajib mengorak langkah terlebih dahulu dalam proses perubahan minda yang kerap kali diperkatakan sebagai sesuatu yang menjadi kemestian jika kita ingin terus membangun.
 
“Kita semua harus ingat bahawa kita mempunyai wawasan untuk menjadikan Malaysia pada tahun 2020 kelak bukan sahaja sebuah negara maju tetapi juga sebuah bangsa yang kuat dan dihormati oleh semua bangsa-bangsa di dunia.

Pihak pembangkang kini juga semakin hebat melakukan perkara-perkara biadap dan tidak beretika. Kita lihat sahaja, ketika Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55, mereka sekali lagi menjadikan anak-anak muda sebagai kuda-kuda mereka demi menanamkan sifat kebencian rakyat terhadap pemimpin negara kita.

Ketika seluruh rakyat Malaysia menyambut ulang tahun Kemerdekaan yang Ke-55 dengan penuh semangat patriotik cintakan tanah air, ada lagi rakyat Malaysia yang tidak bersyukur. Malah berusaha menghuru-harakan Negara di malam sambutan kemerdekaan Negara kita yang ke – 55 tahun. Mereka melakukan tindakan penghinaan dengan memijak gambar pemimpin no.1 Negara dan mengibarkan bendera ciptaan sendiri dengan niat mahu menukar bendera jika Pakatan Pembangkang memerintah,” tambahnya lagi.

Ujarnya, tindakan sebegini oleh penyokong himpunan tersebut yang diadakan pada malam sambutan kemerdekaan merupakan tindakan yang biadap. Hal ini memperlihatkan betapa rendahnya moral dan pemikiran mereka hingga sanggup melakukan tindakan sedemikian. Perlakuan biadap dan kurang ajar penyokong Pakatan Pembangkang pada malam itu adalah keterlaluan tetapi inilah politik yang cuba dibawa Pakatan Pembangkang pada hari ini yang bersifat keji dan membahayakan.

“Oleh itu, peranan dan tanggungjawab kita semakin besar. Pilihanraya Umum ke-13 pun kita jangkakan semakin hampir, maka saya menyeru kepada ahli-ahli Puteri agar meramaikan lagi saf-saf Puteri, dan seterusnya mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihanraya. Jika kita tidak mengundi pada pilihanraya akan datang, kita mensia-siakan peluang untuk memberi mandat kepada parti kita sendiri, malah kita akan gagal melaksanakan tanggungjawab serta hak yang paling asas dalam sebuah demokrasi.

Maka segala usaha kita untuk memastikan UMNO kekal berkuasa tidak berhasil jika kita gagal dalam memberikan mandat kepada UMNO dalam pilihanraya. Selain dari menjalankan aktiviti politik, kita perlu menjadi jurucakap bagi pihak kerajaan kepada rakyat. Hanya dengan cara itu, kita akan dapat satu kekuatan politik. Kekuatan yang akan disegani oleh kawan atau lawan. Buktikanlah bahawa Puteri mampu, yakin dan boleh melakukannya,” tambahnya.
 
Beliau turut menyeru agar jentera pilihanraya di peringkat akar umbi dikenal pasti dan digerakkan. Senjata yang paling berkesan ialah memenangi hati rakyat maka Puteri di semua peringkat hendaklah memulakan gerakan mesra rakyat.

“Setiap program hendaklah bukan sahaja melibatkan ahli UMNO semata-mata tetapi juga melibatkan rakyat di segenap lapisan masyarakat. Moto generasi wanita prihatin serta bersatu bersetia dan berkhidmat hendaklah sentiasa dihayati dan menjadi amalan kita.

Bukan itu sahaja, persedian kita juga perlu ialah dengan mengenali 1st timer voters. Kita akan bina sebuah sistem dan kumpulan untuk mengenalpasti kelompok ini dan kita akan dekati mereka dengan cara yang berhikmah. Kita mahu pengundi-pengundi baru ini menyertai kita bukan sekadar untuk meraih undi dan pangkah kita, tetapi kita akan memastikan mereka bersama-sama di dalam barisan pejuang kita,” ujarnya lagi.

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

103 Komen

Post a Comment