Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim hari ini
menasihatkan sahabat lamanya, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri Pulau
Pinang supaya jangan bertolak ansur, suka tak suka Mansor mewakili orang Melayu
di Pulau Pinang.
“Kalau sayang orang Melayu, kita mesti terus menentang orang yang
biadap dan rasis, Lim Guan Eng ini. Sebagai manusia, sebagai orang Melayu,
kalau ada hati perut untuk menjaga kepentingan orang Melayu, orang seperti Lim
Guan Eng harus ditentang habis-habisan. Kawan kamu dalam PKR yang bersubahat
dengan Lim Guan Eng boleh dianggap musuh dalam selimut.
Saya ingin memperingatkan Mansor, kawan saya walaupun kita berbeza
pendapat dari segi politik, saya sebagai kawan tidak mahu dia bertolak ansur
dan mengadaikan kepentingan orang Melayu atas nama jawatan dan kepentingan
orang yang gila kuasa,” ujarnya mengulas kontroversi politik yang melanda DAP
dan PKR di Pulau Pinang.
Tambahnya, kontroversi isu kemelut politik di Pulau Pinang
khususnya antara DAP dan PKR sejak akhir-akhir ini nampak jelas dan terserlah,
boleh dikatakan wujud satu kontroversi untuk memperlekehkan dan memberi masalah
kepada Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri.
“Kalau kita lihat dari perkembangan yang telah berlaku selepas
Pakatan memang PRU12 di Pulau Pinang, ada `orang’ yang teringin sangat nak jadi
Timbalan Ketua Menteri tetapi tak dapat, sebab `orang’ yang nak jadi Timbalan
Ketua Menteri itu tidak direstu, tidak dapat diterima sebagai pemimpin besar
yang mewakili PKR dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.
Anwar Ibrahim sendiri pernah memberitahu saya bahawa dia tidak
mahu ‘orang’ itu menjadi Timbalan Ketua Menteri. Oleh sebab itu, pada 2008
Fairus telah diangkat sebagai Timbalan Ketua Menteri. Pokoknya, Anwar tidak
berkenan dengan ‘orang’ itu,” ujarnya lagi.
Tambahnya, bila isu Fairus (Bekas Timbalan Ketua Menteri) timbul,
inikan harus kita sedar bahawa “kononnya” masalah dengan Fairus ini timbul atas
desakan ahli PKR yang duduk dalam kerajaan pun sebenarnya, ada ahli PKR yang
duduk sebagai Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah bersubahat dengan
Ketua Menteri untuk cari jalan lucutkan atau buang Fairus pada masa itu.
“Saya ketika itu sebagai Pengerusi PKR, saya telah dibawa berita
demi berita oleh Exco yang mewakili PKR masa itu dan yang saya cakap itu
sebenarnya Setiausaha Perhubungan PKR negeri Pulau Pinang. Jadi banyak berita
yang dia bawa kepada saya, sebagai Pengerusi saya terimalah dan kritikan serta
pelekehan terhadap Fairus begitu dasyat sekali dan kita lihat, yang jadi
klimaks ketika itu apabila Lim Guan Eng berjumpa dengan Anwar untuk memberitahu
keadaan sebenar kedudukan Fairus dalam kerajaan negeri, dia sendiri tidak
begitu puas hati.
Anwar telah mengambil tindakan, apa yang dibincangkan dengan Fairus,
saya tidak tahu dan Fairus telah meletakkan jawatan. Tetapi saya tahu ada orang
yang tidak berapa puas hati sebab dia rasa selepas Fairus meletakkan jawatan,
dia akan jadi Timbalan Ketua Menteri. Namun Anwar telah meminta Dr Mansor
bertanding di Penanti, berlaku sekali lagi Pilihan Raya Kecil di kawasan
Parlimen Permatang Pauh iaitu di DUN Penanti,” ujarnya panjang lebar
mendedahkan kemelut dan kerja tikam belakang yang berlaku dalam PKR Pulau
Pinang.
Apabila Mansor menang dalam pilihanraya kecil tersebut, menang
mudah memandangkan UMNO dan BN telah mengambil pendekatan boikot dan tidak
meletakkan calon, Mansor menang dan telah dilantik sebagai Timbalan Ketua
Menteri.
“Kita Nampak ‘orang’ yang teringin nak jadi Timbalan Ketua Menteri
tidak berpuas hati. Kita nampak juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga tidak
berpuas hati sebab sekurang-kurangnya Mansor boleh juga bersuara tentang
isu-isu Melayu dan saya pun tahu bahawa Fairus juga ada semangat Melayu yang
dia berjuang dan mempertahankan isu Melayu yang tidak menyenangkan Lim Guan Eng
pada masa itu.
Jadi, saya tidak hairan apabila Mansor kecewa, perasaan hampa dan
begitu tertekan dengan cara pemerintahan Ketua Menteri di mana saya juga dulu
mengelarnya diktator, cauvinis dan pemikiran komunis.
Hari ini Mansor selar dia (Lim Guan Eng) sebagai angkuh, sombong
dan tokong, bagi saya itu kira lembut jugalah. Bagaimanapun, beliau telah
menyatakan, tapi yang saya hairan, itu dalam satu keadaan sulit, dalam satu
mesyuarat tertutup dalam parti PKR yang tidak ada kena menggena dengan DAP atau
mana-mana parti lain,” ujarnya lagi yang yakin bahawa Mansor adalah mangsa
terbaru dalam PKR yang bakal ‘disembelih lehernya dalam politik PKR’.
Beliau yakin apa yang terjadi ini merupakan satu konspirasi
sebagaimana apa yang berlaku ke atas Fairus, malah Zahrain juga menerima nasib
yang sama apabila dibawa ke Lembaga Disiplin PKR apabila dia menyerang Lim Guan
Eng, ini juga menunjukkan Anwar Ibrahim sendiri tidak peduli tentang wakil
parti yang duduk dalam kerajaan.
“Saya juga terkejut semalam dalam perbahasan bajet, Anwar Ibrahim
berdebat, dia puji melambung pencapaian Lim Guan Eng di Pulau Pinang kononnya Guan
Eng ini pejuang untuk Melayu padahal kita tahu dan jelas bahawa wakil tertinggi
PKR dalam kerajaan Pulau Pinang telah gelar guan Eng ini sebagai angkuh,
sombong dan tokong.
Saya nak tanyalah pada Anwar Ibrahim, tak bagi muka langsungkah
kepada wakil parti PKR dalam kerajaan negeri Pulau Pinang? Adakah kita nak
sembah Lim Guan Eng sebagai sebegitu sekali sampai sanggup menjatuhkan maruah
dan air muka pemimpin parti sendiri di Pulau Pinang,” tambahnya lagi.
0 Komen