HULU YAM - Belum sampai sebulan dibaiki,
Jambatan Gantung Kampung Baru Gurney condong semula.
Penduduk, Ng Poh Heng berkata, jambatan yang berusia lebih 60 tahun itu baru
saja dibaiki oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri pada akhir September lalu
berikutan jambatan itu condong akibat hakisan tebing sungai.
“Difahamkan, kerja baik pulih jambatan itu
menelan kos hampir RM60,000 yang sepatutnya digunakan untuk membina jambatan
baru.
“Tapi yang berlaku bukan pembinaan jambatan
baru sebaliknya tiang jambatan yang condong hanya ditegakkan dan struktur
lantainya diikat yang mengambil masa dua hari untuk disiapkan,” katanya ketika
ditemui semalam.
Menurutnya, perasmian pembukaan semula
jambatan itu setelah dibaik pulih disempurnakan oleh seorang Exco Kerajaan
Negeri.
Katanya, apa yang penduduk kesalkan kerja
baik pulih jambatan itu tidak sempurna sehingga mengakibatkan ia condong
semula.
“Kita juga pelik, mengapa RM60,000 yang
disebutkan sebagai kos membina jambatan baru hanya digunakan untuk membaik
pulih jambatan.
“Sepatutnya, kos besar ini mampu
menghasilkan binaan yang lebih sempurna dan selamat digunakan untuk tempoh
lebih lama,” katanya.
Poh Heng berkata, jambatan gantung itu mula
condong pada awal Mei 2012 dan dibaik pulih pada September lalu sebelum kembali
condong pada awal November ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, kerja baik pulih jambatan
itu dilihat satu pembaziran dan dilakukan secara tergesa-gesa serta tidak
teliti.
“Keadaan ini jelas satu pembaziran dan
membahayakan penduduk kerana Exco yang melaksanakannya tidak memikirkan soal
keselamatan tetapi hanya kepentingan politik.
“Jambatan yang dahulunya dibina kerajaan
Barisan Nasional mampu bertahan lebih 60 tahun, tapi kerja Pakatan Rakyat tidak
sampai 30 hari dah runtuh semula,” katanya ketika melawat jambatan tersebut, baru-baru
ini.
Sumber: Sinar Harian & Ocean13
0 Komen