Jangkakan ramai ada sesuatu yang tidak kena di sebalik pemecatan
Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura PAS ternyata benar apabila surat
pemberitahuan hanya diposkan kepada bekas Timbalan Presiden PAS itu pada 30
Januari 2013 dan diterimanya pada 6 Februari 2013.
PAS mengumumkan pemecatan itu pada 26 Januari 2013 melalui
kenyataan media oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Zawawi Nik Salleh
yang menyatakan Ustaz Nasharudin telah dipecat sebagai ahli Majlis Syura semasa
badan tertinggi PAS itu bermesyuarat pada 13 Januari 2013.
Jika kenyataan Nik Zawawi betul bermakna perjalanan parti itu
ternyata agak bercelaru dan tidak terurus kerana mengambil masa yang agak lama
untuk menyampaikan keputusan parti kepada ahlinya.
Entah apa jenis kelayakan yang diambil kira sebelum Nik Zawawi
dilantik sebagai Setiausaha, langsung tidak efisien kerja buatnya. Bukannya
beribu keping surat yang perlu dihantar, hanya sekeping sahaja itu pun
berminggu-minggu mengambil masa.
Sehari dua sebelum pemecatan itu diumumkan, kelibat Ustaz
Nasharudin dilihat menyertai rombongan bersama Perdana Menteri, Dato' Seri
Najib Tun Razak di Gaza, Palestin telah menimbulkan kecurigaan dan rasa tidak
senang di kalangan pemimpin PAS.
Dilihat kronologi yang berlaku dalam tempoh itu, memang jelas
kelihatan ada sesuatu yang tidak kena. Bak kata pepatah ada udang di sebalik
batu.
Pemecatan itu dilakukan memang disebabkan adanya agenda
tersembunyi dan alasan kononnya Ustaz Nasharudin 'kerap tidak datang mesyuarat'
hanyalah bertujuan untuk mengabui mata khalayak sahaja.
Tambahan pula Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat selaku Pengerusi
Majlis Syura Ulama PAS yang sering kali ponteng mesyuarat dan kalau datang pun
kerap pulang awal, tidak pula dipecat walau sepatutnya sudah lama diambil
tindakan berikutan ketidakberkesanan pimpinannya.
Tak mustahil hakikat sebenarnya pemecatan itu dilakukan secara
tergesa-gesa dan tidak pun dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura PAS pada
13 Januari 2013, sebaliknya ia hanya diputuskan melalui perbincangan tidak
rasmi antara pimpinan PAS selepas gambar Ustaz Nasharudin dan PM di Palestin
disiarkan media perdana.
Walau apa senario sekalipun, tatacara pemecatan keanggotaan Ustaz
Nasharudin dalam Majlis Syura Ulama PAS itu sendiri tidak menepati prosedurnya
apabila Ahli Parlimen PAS Bachok itu tidak dipanggil untuk membela diri atau
setidak-tidaknya diberi surat tunjuk sebab.
Jelas sekali ia satu bentuk kezaliman dan amat tidak Islamik, amat
bertentangan sekali dengan seruan keadilan yang sering diwar-warkan parti itu
di pentas-pentas ceramah politik.
Lebih sedekad lalu apabila Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO disebabkan masalah moral,
ramai pemimpin dan penyokong PAS tampil mempersoalkan pemecatan tersebut yang
dikatakan zalim dan tidak Islamik.
Walhal tindakan pemecatan itu tidak pun dilakukan secara semberono
tanpa usul periksa sebaliknya Anwar telah diberi peluang untuk membela diri
dalam Majlis Tertinggi UMNO malah tidak dihalang melantik pasukan guaman
sendiri bagi menghadapi perbicaraan di Mahkamah.
Sekarang terbukti PAS adalah sebenar-benarnya parti yang zalim dan
tidak Islamik serta telah bertindak secara kuku besi. Memang jelas PAS telah
menzalimi Ustaz Nasharudin dan ianya berlaku hanya selang setahun selepas bekas
Naib Presiden PAS, Dr Hasan Ali dipecat tanpa bicara dari parti itu.
Belum memerintah negara sudah terbiasa dengan kelakuan buruk dan
asyik menzalimi orang lain, andai diberi peluang memerintah negara tidak sukar
dibayangkan kezaliman yang bakal PAS laksanakan terhadap pihak lain yang tidak
sealiran dengannya.
0 Komen